Promoter wanita didakwa curi pakaian dalam didenda RM2,000

17/10/2017 2:07pm


Mahkamah Majistret Melaka.


MELAKA - Seorang promoter wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai pakaian termasuk pakaian dalam lelaki pada Jun lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roslinda Kasaruddin, 33, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri tiga jenis pakaian iaitu dua kotak seluar dalam lelaki, sehelai seluar denim lelaki, sehelai baju berkolar lengan pendek berjumlah RM298.90 kepunyaan Aeon Bandaraya Melaka.

Tindakan itu dilakukannya pada pukul 10.13 malam di tempat parkir motosikal Aeon Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang di sini pada 20 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Tahir memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan telah berkahwin bagaimanapun merayu hukumannya diringankan dengan alasan tidak berkemampuan untuk membayar sekiranya nilai denda dikenakan tinggi.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mohd. Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. - K! ONLINE