Tujuh penyokong bola sepak Perak didenda RM500 kerana bergaduh

17/10/2017 2:32pm


Tujuh penyokong bola sepak yang didakwa bergaduh dibawa ke mahkamah hari ini.


IPOH - Tujuh penyokong bola sepak Perak masing-masing didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan bergaduh selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak di sini kelmarin.

Tertuduh, Mohd. Noramin Anuar, 29; Wan Nazirul Shahpri Wan Mazran, 24; Daim Mokhtar, 18; Muhammad Afif Ashrani Muhsin, 24; Muhammad Arif Muhsin, 21; Mohd. Mansor Mat, 29, dan Muhammad Aizat Ariff Fadilah, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dituduh terlibat dalam pergaduhan di Pintu F, Stadium Perak pada pukul 1.08 minit pagi semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. - K! ONLINE