Zamihan pohon maaf kepada Sultan Selangor

17/10/2017 2:45pm


Zamihan


SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr. Zamihan Mat Zin memohon maaf terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akur dengan pelucutan tauliahnya oleh baginda semalam.

Zamihan dalam kenyataannya di sini hari berkata sebagai rakyat biasa, beliau menghormati keputusan yang diambil Sultan Sharafuddin sebagai waliyyul amri ataupun seorang pemerintah.

"Saya sekali lagi merafak sembah memohon maaf terhadap Tuanku Sultan, sekiranya terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama. Sesungguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya tanggungjawab menyebarkan syiar Islam," katanya.

Semalam Sultan Sharafuddin berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar Zamihan serta membatalkan keanggotaannya dalam Jawatankuasa Tauliah negeri itu.

Zamihan bagaimanapun berkata beliau akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai.

"Sesungguhnya perjuangan ataupun dakwah Islam tidak pernah terhenti," katanya. - Bernama