Jangan batu apikan hubungan kami - Kamal Adli

17/10/2017 5:34pm


Kamal dan Emma.


KUALA LUMPUR - Pelakon Kamal Adli meyeru orang sekeling supaya tidak bersikap batu api dan berhenti mengeruhkan keadaan sehingga boleh menjejaskan hubungannya dengan kekasih, pelakon Emma Maembong.

Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 31, berkata, dia dan Emma telah berbaik dan kemelut yang melanda telah lama selesai.

“Hubungan saya dan Emma sudah kembali macam biasa.

“Saya harap, tiada pihak yang menjadi batu api dan cuba merenggangkan hubungan kami,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2017 di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Kamal yang popular dengan drama Sha & Shah berkata, dia enggan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini bagi menjaga hati semua pihak.

“Semuanya telah selesai. Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, hubungan Kamal dan Emma dikatakan retak selepas Kamal memuat naik gambar mereka berdua di Instagram berbunyi: “Doakan yang baik-baik.”

Difahamkan, masalah tersebut berpunca daripada hubungan akrab Kamal dan pelakon Zahirah Mcwilson selepas kedua-dua mereka berlakon dalam drama Duda Pujaan Dara. - K! ONLINE