Khair bersara selepas berkhidmat 35 tahun

17/10/2017 7:28pm


Khair (dua, kanan) mengetip kad perakam waktu pada Majlis Clock Out sempena Persaraan Ketua Pengarah Pelajaran di Kementerian Pendidikan hari ini.
 Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan (dua, kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu Datuk Dr Amin Senin (kiri).


PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof menamatkan perkhidmatannya secara rasmi hari ini selepas 35 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Khair, 61, ketika berucap dalam majlis tersebut berharap agar kementerian terus memainkan peranan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

"Selama mengalas jawatan ini, saya sentiasa diberikan sokongan dan pihak pengurusan juga sentiasa memahami kehendak saya untuk memantapkan lagi sistem pendidikan dan profesion perguruan.

"Saya percaya apa yang telah saya lakukan sebelum ini akan dapat membantu penganti saya untuk menguruskan dan mengekalkan kejayaan kementerian ini," katanya ketika diraikan dalam Majlis Clock Out Sempena Persaraannya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah Pelajaran baharu, Datuk Dr. Amin Senin.

Khair memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran sejak 2013 dan bersara wajib pada tahun lalu, namun atas kecemerlangan yang dipamerkan, khidmatnya disambung menerusi kontrak selama setahun.

Khair juga sempat mengetip keluar kad perakam waktu buat kali terakhir pada pukul 5 petang dan sempat bersalaman dengan kakitangan kementerian dalam suasana terharu sebelum meninggalkan perkarangan kementerian.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengumumkan pelantikan Amin sebagai Ketua Pengarah Pelajaran baharu berkuat kuasa Khamis ini. - Bernama