Lelaki maut motosikal Honda Dash hilang kawalan

17/10/2017 7:15pm


Anggota polis mengawal keadaan trafik di lokasi kejadian di mana mangsa (gambar kecil) maut akibat motosikalnya terbabas pagi tadi.


KEMAMAN - Seorang lelaki yang bekerja kampung maut selepas motosikal Honda Dash yang ditungganginya tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Ibok -Seri Bandi berhampiran Bandar Seri Bandi dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Ibrahim Abdullah, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Ibrahim dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Seri Bandi dekat sini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Dash ditunggangi mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE