Zinnia pokok hiasan semusim pilihan ramai

Pokok Zinnia sesuai dijadikan tanaman hiasan pada batas atau sempadan.


Tanaman semusim ialah pokok-pokok hiasan yang boleh hidup selama tiga hingga empat bulan sahaja sebelum mati.

Kebanyakannya digunakan sebagai elemen utama dalam gubahan tanaman pada tanah seperti batas atau pembahagi jalan.

Selain itu, ia juga ditanam dan digubah dalam bekas atau planter untuk digantung menghiasi premis perniagaan seperti kompleks beli-belah dan hotel.

Salah satu tumbuhan popular yang ditanam di negara kita ini ialah spesies daripada genus Zinnia yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Compositae.

Nama tempatannya ialah pokok bunga Jepun yang mungkin diambil ketika zaman penjajahan Jepun suatu ketika dahulu.

Meskipun begitu, tanaman tersebut tetap popular sepanjang zaman.

Ia disebabkan terdapatnya spesies-spesies kacukan yang berbunga lebih menarik daripada spesies asli.

Kelopak bunganya itu sebenarnya adalah pengasuh bunga sama ada selapis atau beberapa lapisan.

Bunganya yang sebenar pula adalah kecil dan majmuk, berada pada bahagian tengah kuntuman.

Pada bahagian itulah biji benih yang subur akan dikeluarkan untuk tujuan pembiakan.

Daunnya pula berbentuk bujur panjang dengan warna hijau muda atau pucat.

Spesies Zinnia jenis asli mempunyai batang yang panjang dan mengeluarkan bunga berkelopak selapis berbentuk ringkas yang hanya dalam beberapa warna pilihan sahaja.

Bagi jenis kacukan pula, ia mempunyai bentuk pokok yang lebih rendah dan padat.

Bunganya pula datang dalam pelbagai saiz, berkelopak tersusun dan mempunyai pelbagai warna pilihan baharu yang lebih cantik serta tahan lasak.

Pembiakan dan penanaman:

Pokok jenis asli senang dibiakkan menggunakan biji benih matang daripada bunganya.

Bagi pokok jenis kacukan pula, ia hanya boleh dibiakkan menggunakan biji benih jenis F1 yang boleh dibeli dari pusat tanaman.

Ia sebenarnya merupakan pokok eksotik dengan benihnya diimport dari luar negara.

Bahkan, ia tidak akan mengeluarkan biji benih untuk penanaman seterusnya.

Oleh itu, kita perlu membeli biji benih F1 yang baharu untuk menanamnya semula.

Ia sesuai ditanam dalam campuran medium tanaman yang senang air mengalir keluar dan kaya dengan bahan organik dalam nisbah 3:2:1 (tanah peroi: bahan organik: pasir sungai).

Campuran tanah untuk pokok berpasu juga sesuai digunakan.

Penjagaan:

1) Dedahkan kepada cahaya matahari yang banyak untuk menggalakkannya berbunga.

2) Siram dua kali sehari pada hari panas dan bila perlu sahaja pada hari hujan untuk mempercepatkan pengeluaran bunga yang banyak serta cantik.

3) Baja organik seperti najis ayam dan kelawar amat sesuai untuk tumbuhan ini.

Sungguh pun demikian, baja kimia juga boleh digunakan.

Gunakan baja berwarna hijau untuk pertumbuhan anak pokok sehingga dewasa.

Kemudian, gunakan baja pembungaan berwarna merah untuk menggalakkan pertumbuhan bunga yang banyak serta cantik.

Idea pameran:

Zinnia sesuai ditanam pada tanah dalam skala yang luas untuk penampilan yang lebih menarik dengan pameran bunganya yang cantik menawan.

Ia biasanya ditanam secara solo atau dicampur dengan pokok berdaun atau berbunga lain.

Untuk pameran di kawasan kediaman pula, anda boleh menanamnya dalam pasu secara solo atau dicampurkan dengan pokok lain.

Tip:

1) Potong bunga yang telah layu untuk kelihatan lebih kemas dan menarik.

2) Bunganya juga sesuai dipotong untuk dijadikan bahan dalam gubahan bunga hidup.

3) Cabut pokoknya yang telah meningkat tua untuk ditanam dengan anak pokok yang baharu.