Clear Herbs lebarkan sayap ke antarabangsa


CLEAR Herbs mengeluarkan enam produk makanan kesihatan berasaskan herba dan bahan semula jadi.


CLEAR Herbs Sdn. Bhd. (Clear Herbs) yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu merupakan jenama produk herba dan kesihatan yang tidak asing lagi di negara kita.

Merancakkan lagi industri berasaskan herba dan kesihatan ini, Clear Herbs telah mengeluarkan enam produk seperti Herbamadu Xtraplus, Neutralez, Mince MX Juice, Pati HerbaMadu, Whey Plus dan Kopi Putih Ubi Jaga.

Mengulas perjalanan awal penubuhan syarikat tersebut, Pengarah Eksekutif Clear Herbs, Abdul Halim Hafez, 39, berkata, ia ditubuhkan bersama dua orang sahabat karibnya iaitu Abdul Rahman Yaacob, 42, dan Shamsul Kamal, 42, pada April 2014.

“Kami bertiga memang meminati bidang perniagaan dan menemui jus yang sangat baik untuk kesihatan menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti madu, bawang putih, halia, lemon, kurma dan cuka epal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat Clear Herbs, Taman Kajang Sentral, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Pada awalnya, Abdul Halim dan rakan-rakan hanya membuat minuman itu untuk kegunaan diri sendiri sahaja.

Bagaimanapun proses membuatnya yang rumit dan memakan masa mencetuskan idea kepada mereka untuk mengkomersialkan produk tersebut.

“Nampak sahaja mudah tetapi jika tersilap bancuh akan merosakkan rasanya apatah lagi ia perlu direbus sehingga lima jam untuk memekatkannya.

“Pada waktu itu, produk sebegini tidak banyak dipasarkan secara meluas, lalu memberi idea kepada kami untuk mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah.

“Memandangkan kami masing-masing mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat maka, produk tersebut dijual secara online,” jelasnya yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Di situlah permulaan penghasilan produk pertama mereka yang dikenali sebagai Pati HerbaMadu.

Pada peringkat awal mereka hanya membuat jus tersebut pada hujung minggu dengan penghasilan sekitar 50 botol sahaja dan dijual kepada rakan-rakan serta saudara-mara.

Kilang

Tambah Abdul Halim, permintaan yang meningkat membuatkan mereka mencari solusi iaitu kilang yang sesuai untuk menghasilkan produk tersebut dalam kuantiti lebih besar.

Walaupun dihasilkan di kilang tetapi mereka masih mengekalkan kaedah pembuatan seperti di rumah.

Tutur bapa kepada dua orang cahaya mata itu, kilang tersebut akan menghasilkan produk yang menggunakan resipi mereka bertiga.

Bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan, mereka bertiga yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat mengambil keputusan berhenti kerja pada dua tahun lalu.

Setiap seorang telah mengeluarkan modal sebanyak RM7,000 bagi membangunkan syarikat tersebut.

Berkat usaha dan tidak mengenal putus asa, Clear Herbs kini mempunyai ejen di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Ejen-ejen ini kebanyakannya terdiri daripada pengguna produk-produk tersebut.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Abdul Halim berkata, persaingan sekarang sangat sengit memandang terdapat banyak lambakan produk kesihatan di pasaran.

Apatah lagi kuasa membeli juga menurun sehingga pihaknya perlu menyusun strategi dan mengubah cara pemasaran mengikut perkembangan semasa.

Ujar Abdul Halim, Clear Herbs ingin menjadi jenama terunggul yang menyediakan produk herba semula jadi berkualiti tinggi bersama inovasi terkini.

Clear Herbs turut merancang untuk memasuki pasaran antarabangsa dan bukan Melayu pada masa akan datang untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya.

Selain itu, pihaknya juga akan membuat satu sub jenama yang memberi fokus kepada produk-produk kecergasan sahaja.

Mereka juga bercadang untuk tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun lagi.