My-CHO Kit beri pendedahan awal mengenai OKU

MY-CHO KIT merupakan usaha awal untuk memberi pemahaman kepada kanak-kanak normal mengenai OKU.


PAGI itu, seramai 30 orang pendidik berkumpul di Galeria Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (PLPP), Bangi, Selangor bagi mengikuti seminar Disability Equality Training (DET) dan bimbingan penggunaan Malaysia Cakna Hal OKU (My-CHO Kit).

Masing-masing hadir bagi mewakili sebanyak 30 taska di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Salah seorang peserta yang hadir, Iffrah-Albaniah Anuar, 25, berkata, seminar berkenaan menekankan tentang cara memupuk kesedaran kanak-kanak normal berusia antara tiga dan empat tahun untuk menerima keunikan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) sebagai sebahagian daripada masyarakat.

“Melalui seminar penggunaan My-CHO Kit ini, saya diajar cara yang betul untuk memperkenalkan kanak-kanak normal terhadap keistimewaan kanak-kanak OKU.

“Saya sendiri pernah berdepan dengan pelajar OKU yang ketika itu baru berusia tiga tahun. Disebabkan tiada ilmu, saya jadi kaku dan tidak tahu apakah tindakan yang perlu diambil,” ujarnya ketika ditemui pada seminar DET dan pelancaran My-CHO Kit di PLPP, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, usai mengikuti seminar yang dianjurkan, dia berpendapat My-CHO Kit merupakan satu inovasi yang patut dilaksanakan sejak dahulu lagi.

“Inovasi baharu dan seumpama ini perlu diberi perhatian memandangkan tidak banyak taska yang mahu mengambil kanak-kanak OKU sebagai penghuni kerana khuatir tidak dapat menguruskan mereka dengan baik.

“Dengan adanya taska yang memiliki ciri-ciri insklusif ini, ia akan mempermudah dan membolehkan ibu bapa yang memiliki anak OKU untuk mendapat akses ke taska berhampiran kediaman mereka,” ujarnya yang memegang jawatan sebagai guru di Taska De Sayang Wisma Putra, Putrajaya.

Deria sentuh


AKTIVITI menutup mata dijalankan bagi memahami keistimewaan kanak-kanak OKU penglihatan.


Iffrah-Albaniah memberitahu, selepas menggunakan kit tersebut terhadap 30 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di taska tempatnya mengajar itu, mereka teruja untuk menyelami kehidupan istimewa kanak-kanak OKU.

“Saya menyuruh mereka memakai penutup mata, kemudian meneka gambar yang terdapat pada kad timbul. Mereka perlu menggunakan deria sentuh pada kad berkenaan. Kebanyakan daripada kanak-kanak ini dapat meneka dengan betul tetapi mengambil masa agak lama.

“Selepas itu saya terangkan kepada mereka, itulah yang dirasakan oleh kanak-kanak OKU yang tidak dapat melihat, mereka perlu bergantung pada sentuhan,” ujarnya yang sudah empat tahun berkhidmat sebagai guru di taska berkenaan.

Seminar DET dan My-CHO Kit merupakan sebahagian daripada pengisian projek rintis untuk memperkenalkan My-CHO Kit sebagai alat bantuan mengajar (ABM) sekali gus merupakan inovasi pertama dan usaha awal untuk memberi pemahaman kepada pihak yang bakal menggunakan kit berkenaan.

Kit itu digunakan sebagai instrumen dalam menjalankan aktiviti dengan kanak-kanak. Secara praktiknya, kit itu merupakan bahan pendidikan nilai tambah yang menyeronokkan kepada kanak-kanak di taska.

Penggunaan bahan mengajar yang terkandung dalam My-CHO Kit adalah tanah liat (Play-doh), penutup mata, penutup mulut, cakera padat interaktif dan kad timbul. Aktiviti mengajar boleh disisipkan dalam aktiviti-aktiviti di taska bagi perkembangan kanak-kanak.

Ia bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang OKU khususnya dalam memahami berkenaan isu ketidakupayaan bersesuaian dengan pepatah Melayu, membentuk buluh biar daripada rebungnya.

Ketua Projek My-CHO Kit merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, Dr. Roslinda Alias berkata, menanam sikap peduli (cakna) terhadap masalah dan halangan yang dihadapi OKU dalam kalangan kanak-kanak taska adalah penting bagi memupuk budaya menyantuni OKU.

“Objektif utama My-CHO Kit adalah sebagai platform advokasi serta penerapan elemen cakna terhadap OKU dalam kalangan kanak-kanak normal.

“Ini selaras dengan Strategi 1, Teras Strategik 9 dalam Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022 yang telah diluluskan Jemaah Menteri pada 23 Mac 2016 yang memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif dalam kalangan masyarakat OKU,” ujarnya.

Ilham


SIKAP memahami insan OKU dalam masyarakat perlu dipupuk supaya golongan itu tidak berasa terpinggir atau disisihkan.


Roslinda mendapat ilham untuk mencipta alat bantuan mengajar itu selepas menyiapkan tesis bertajuk Model of Technology Supported Learning for Special Education (Model Pembelajaran Didukung Teknologi bagi Pendidikan Keistimewaan) untuk kajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

My-CHO Kit mempunyai tiga modul utama yang menumpukan kepada pemahaman tentang konsep kekurangan dan ketidakupayaan meliputi kategori OKU penglihatan, pendengaran/pertuturan dan fizikal yang menyasarkan kanak-kanak normal berusia tiga hingga enam tahun.

Prasyarat penggunaan My-CHO Kit adalah pengguna iaitu pendidik (guru) perlu menjalani latihan intensif bagi memastikan modul-modul dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai matlamat yang disasarkan. Latihan intensif berkenaan merangkumi DET dan bimbingan penggunaan My-CHO Kit.

Setakat ini, taska-taska yang terlibat adalah di bawah pemilihan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, sehingga 31 Ogos 2017, seramai 438,878 OKU telah berdaftar bersama JKM dengan 12,843 orang daripada jumlah tersebut adalah kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah, tujuh hingga 12 tahun (55,856 orang) dan 13 hingga 18 tahun (53,784 orang).

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan (Kaunseling), Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Nuzha Mohamed memaklumkan, pada 2015, kit tersebut dikenali sebagai Islamic Cakna Hal OKU (i-CHO) yang digunakan khusus di Tadika Khauthar.

“Namun, selepas dibentangkan ke peringkat kementerian, ada yang bertanya mengapa tidak diselaraskan supaya boleh digunakan di mana-mana taska.

“Dari situ, beberapa penambahbaikan dilakukan dan pada tahun ini terhasilnya kesinambungan inovasi berkenaan iaitu My-CHO Kit,” tuturnya yang terlibat sama dalam menghasilkan kit berkenaan.

Tambah Nuzha, pada peringkat permulaan, kit itu akan memfokuskan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun sebelum dikembangkan dan disesuaikan untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah.