Mayat rentung akibat kebakaran hutan di California


kebakaran yang melanda California merupakan tragedi terburuk yang berlaku di Amerika Syarikat pada tahun ini.


“BANYAK rumah berhampiran kawasan kediaman saya telah musnah menjadi abu.

“Saya kini dikelilingi kemusnahan tetapi berasa beruntung kerana musibah ini tidak berlaku kepada saya,” kata Jack Dixon yang merupakan seorang penduduk di Santa Rosa, California, Amerika Syarikat.

Dixon menjelaskan, dia bernasib baik kerana kawasan kejiranannya terselamat daripada terbakar apabila api bertukar arah.

Namun, banyak kawasan lain yang tidak bernasib baik musnah dijilat api.

Baru-baru ini, sebahagian besar kawasan di California musnah teruk apabila berlaku kebakaran hutan yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah negara Uncle Sam itu.

Dalam pada itu, Ketua Bomba California, Ken Pimlott memberitahu pemberita, bencana yang melanda itu sesuatu yang serius.

Kebakaran itu dikesan mula berlaku di kawasan hutan di Mendocino Country pada malam Jumaat minggu lalu.

Jelasnya, kawasan itu tidak akan bebas daripada bahaya bagi jangka masa yang agak lama.

“Ia mungkin akan reda seketika, namun faktor angin dan ribut serta keadaan yang kering mengganggu usaha kami untuk membendung kebakaran.

“Kebakaran ini dimarakkan oleh bahan bakar yang kering dan mudah terbakar di permukaan hutan,” jelasnya.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat kebakaran hutan di California itu meningkat kepada 36 orang manakala majoriti mangsa adalah golongan tua.

Beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal dan kawasan seluas lebih 76,000 hektar itu musnah dijilat api.

Pada masa sama, angin kencang telah menyukarkan usaha anggota bomba untuk mengawal 20 lokasi kebakaran dan keadaan cuaca tidak menunjukkan tanda-tanda akan beransur baik.

Orang hilang


Gambar dari udara menunjukkan kesan kemusnahan akibat kebakaran.


“Ini bermakna kebakaran akan terus merebak dan ia berpotensi untuk berubah arah pada bila-bila masa,” kata Pimlott.

Sementara itu, Syerif Rob Giordano dari daerah Sinoma yang turut terjejas teruk akibat kebakaran itu berkata, jabatannya menerima kira-kira 1,100 laporan orang hilang.

“Daripada jumlah itu, lebih kurang 745 daripada mereka ditemui selamat dan kami masih mencari 400 lagi mangsa lain,” jelasnya.

Giordano berkata, usaha mengesan mayat telah dimulakan sekiranya tiada petunjuk lain.

“Kami telah beralih ke fasa pemulihan. Kami menggunakan khidmat anjing pengesan yang boleh menghidu bau mayat dan membantu mencari mangsa.

“Sebahagian mayat dalam keadaan baik dan mudah untuk dikenal pasti. Sebahagian lagi hanya tinggal abu dan tulang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Gabenor Negeri California, Jerry Brown turut mengisytiharkan darurat bencana di daerah Napa, Sonoma dan Yuba.

Beliau kemudian melanjutkan perintah itu ke empat daerah lain di California Utara dan Negeri Orange di California Selatan.