Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.


Mengenakan seluar jean Levi’s berwarna biru gelap dan berbaju kemeja Polo, penampilan Mohd. Uzair Anuar, 27, pada hari itu nampak bergaya dan ranggi.

Pastinya ramai menyangka, pakaiannya itu mahal harganya. Manakan tidak, kesemua pakaian yang digayakannya itu berjenama import.

“Sebenarnya, pakaian ini saya beli di kedai Buntil iaitu sebuah premis yang menjual pakaian terpakai di Shah Alam, Selangor.

“Saya suka pakaian ini kerana ia selesa, berjenama dan materialnya diimport, tetapi mampu dimiliki pada harga yang lebih murah.

“Walaupun sesetengah orang beranggapan pakaian bundle sebagai berkelas kedua, tetapi sebenarnya ia mempunyai gred tertentu dan adakalanya lebih berkualiti daripada pakaian baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Atas sebab itulah pemilik kedai Buntil, Shamsul Arif Mansor, 51, mengusahakan sebuah kedai bundle atau pakaian terpakai di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.

Berbeza dengan kedai pakaian terpakai lain, Shamsul Arif atau lebih mesra disapa Sting memberitahu, kedai tersebut unik kerana terdapatnya barangan perhiasan dari tahun 1970-an hingga 1990-an disusun kemas dan rapi di samping barangan yang dijual.

Menyingkap mengenai sejarah Buntil, Sting berkata, kedai itu telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu dan beliau mula berniaga di pusat beli-belah BB Plaza di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Shah Alam.

Katanya, ketika itu, rakan kongsinya Adnan Mohammad, 52, terlebih dulu membuka kedai berkenaan di BB Plaza, sebelum beliau turut sama membantu mengusahakan kedai tersebut.

Selain itu, kedainya juga disebut sebagai Buntil oleh pelanggannya sendiri kerana hanya tertulis nama kedai bundle sahaja ketika berniaga di BB Plaza dahulu.

“Sejak dari bangku sekolah menengah lagi, saya sudah meminati pakaian bundle dan fesyen, ketika itu tempat yang sering saya kunjungi ialah di Chow Kit. Minat tersebut tetap diteruskan meskipun telah sambung belajar di Kolej Matrikulasi Jitra, Kedah dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

“Sewaktu mengikuti pengajian di UKM pula, saya berjumpa dengan Adnan yang turut mempunyai minat sama. Daripada situ, kami berhasrat untuk mempunyai kedai bundle sendiri kelak,” katanya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, pada mulanya beliau hanya bekerja sambilan menjual pelbagai barang pendidikan seperti alat tulis, buku-buku dan kelengkapan sekolah sebelum mempunyai modal yang mencukupi untuk mula berniaga.

“Bermodalkan duit sebanyak RM5,000 ketika itu, saya membawa masuk beberapa barang vintaj dan lama yang sukar diperoleh daripada beberapa rakan untuk diletakkan di kedai.

“Barangan kasut berjenama seperti Timberland dan Converse Made in USA (buatan Amerika Syarikat) menghiasi kedai kami pada awal pembukaan dahulu,” ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Kini, pelbagai jenama pakaian, kasut dan beg popular seperti Ralph Lauren, Brooks Brothers, Burberry, Fred Perry dan Levi’s menghiasi kedai berkenaan.

“Pada tahun 2005, saya pernah menjual item yang paling mahal di kedai ini iaitu sehelai jean Levi’s yang berusia lebih 50 tahun dengan berharga RM15,000,” tuturnya.

Tambah Sting, kebiasaannya beliau memperoleh bekalan pakaian daripada beberapa pembekal dari negara seperti Amerika Syarikat, Kemboja, Pakistan dan Bangkok.

Kualiti


Kedai Buntil turut menawarkan perkhidmatan mengecilkan pinggang atau kaki seluar untuk para pelanggannya.


Katanya, beliau tidak menjual secara longgok ataupun pada tawaran harga murah sepertimana kedai bundle lain.

Hanya produk berkualiti tinggi menjadi pilihan di kedainya bagi memastikan setiap pelanggan yang datang membeli berasa berbaloi dengan harga yang dibayar.

“Saya sangat mementingkan jenama dan kualiti barangan yang dijual. Pakaian yang diperoleh akan dibasuh terlebih dulu sebelum dipamerkan.

“Tidak hairanlah golongan profesional juga mula menunjukkan minat terhadap pakaian ini. Setakat ini, tiada pelanggan yang mengadu mengalami masalah kulit atau gatal kerana memakai baju atau seluar bundle,” jelasnya.

Berbicara mengenai cabaran yang pernah dihadapinya, beliau pernah mengharungi perjalanan menaiki kereta api lebih 16 jam untuk ke Bangkok, Thailand bagi mencari dan memilih sendiri barangan bundle yang berkualiti.

“Selain itu, keadaan nilai mata wang kita ketika ini, stok barangan bundle yang diimport harga sangat tinggi,” ujarnya yang sebelum ini pergi ke luar negara tiga atau empat kali sebelum bagi mendapatkan stok.

Bagaimanapun, kini dia hanya pergi ke luar negara sebulan sekali ekoran mata wang negara yang rendah.

Dalam pada itu, Adnan memberitahu, pihaknya turut mengambil inisiatif menghasilkan produk sendiri yang diperbuat daripada pakaian fabrik jean seperti seluar, skirt dan jaket terpakai.

“Selain koleksi pakaian dan barangan jenama, kami turut menjual produk sendiri buatan tangan yang dinamakan sebagai BTL iaitu singkatan daripada jenama kedai kami, Buntil.

“Faktor fabrik yang tahan lasak dan sesuai dipakai pada bila-bila masa menjadikan jean pakaian kegemaran di seluruh dunia. Seperti fabrik lain, adakalanya jean yang dipakai terkoyak.

“Oleh itu, kami mengolah fabrik tersebut dengan menghasilkan produk lain seperti topi, beg, tas tangan dan clutch,” katanya yang telah memulakan projek berkenaan sejak dua tahun lalu.

Cubaan itu ternyata berjaya memikat hati pelanggan yang turut memuji kualiti produk tersebut. Material itu juga mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kalangan berusia untuk bergaya.

“Selain itu, pada Aidilfitri lalu, kami turut mengeluarkan produk sendiri iaitu kurta edisi terhad S.Mansor menggunakan material diimport dari Jepun. Sehingga kini, kurta berkenaan, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan dan juga dalam kalangan artis tempatan,” ujarnya.

Keistimewaan


ANTARA koleksi pakaian kanak-kanak jenama Ralph Lauren yang terdapat di kedai Buntil.


Mengulas lanjut, mengenai keistimewaan kedai Buntil, Adnan berkata, barangan jenama yang paling popular dalam kalangan para pelanggan ialah kemeja daripada Ralph Lauren.

Katanya, material jenis cotton Oxford daripada Raplh Lauren itu menjadi pilihan para pelanggannya.

“Selalunya para pelanggan yang datang ke kedai ini, pasti akan membeli dua hingga tiga helai baju atau seluar kerana harga yang kami tawarkan amat berpatutan dan ia mampu milik.

“Selain menerima pelanggan dari dalam negara, kedai kami turut dikunjungi para pelancong dari negara seperti Jerman, Britain, Jepun dan Singapura.

“Para pelancong menyifatkan kebanyakan barangan berjenama yang kami jual semakin sukar ditemui di negara mereka,” katanya.

Perkara berkenaan turut diakui oleh salah seorang pelanggan tetapnya, Elyna Rahmat, 25, yang kerap mengunjungi kedai tersebut untuk membeli kemeja-T.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, meskipun pakaian yang dijual itu barangan terpakai tetapi ia masih berkualiti malah bersesuaian dengan cita rasanya.

“Ada pakaian yang saya beli di sini tidak terdapat di pusat beli-belah lain.

“Selain itu, sehelai kemeja-T berjenama yang baharu harganya boleh mencecah ribuan ringgit, namun di sini saya dapat membeli sehingga empat hingga lima helai pakaian yang sama pada harga sebegitu,” katanya yang menjadi pelanggan tetap di kedai tersebut sejak lima tahun lalu.