Masalah mental, fizikal serang dua jaguh


DJOKOVIC (kiri) dan Murray berdepan masalah kecederaan dan keyakinan menyebabkan prestasi kedua-dua mereka musim ini sangat teruk.


LONDON – Bekas pemain No. 1, Greg Rusedski percaya bahawa Andy Murray mengalami kemerosotan prestasi yang berpunca daripada masalah fizikal, manakala Novak Djokovic pula lebih kepada keadaan mental.

Murray dan Djokovic masing-masing memulakan tahun ini sebagai dua pemain teratas dunia, namun selepas itu menyaksikan kemerosotan dari segi prestasi yang agak ketara ekoran kecederaan.

Kedua-dua mereka meninggalkan gelanggang kompetitif selepas kejohanan Wimbledon dan telah mengesahkan hanya akan kembali ke ge­langgang pada Terbuka Australia 2018, Januari nanti.

“Pada pendapat saya, Murray mampu kembali menyengat sekiranya kecederaan pada bahagian pinggulnya pulih dan dia kembali cergas. Murray juga mampu memberi persembahan mantap dan mungkin merangkul enam gelaran kejohanan besar.

“Bagaimanapun, saya berpendapat Djokovic mengalami masalah berbeza. Walaupun kecederaan siku adalah alasannya, namun dia mampu mengatasi masalah tersebut de­ngan begitu baik sebelum ini.

“Djokovic pernah mencipta sejarah meraih empat kejohanan besar pada tahun yang sama sejak kali terakhir dilakukan Rod Laver. Kejatuhannya itu sangat mengejutkan dan pada saya ia berkaitan dengan soal keyakinannya,” katanya.

Sebagai rekod, Murray kini menduduki tempat ketiga dunia, manakala Djokovic jatuh di tempat ketujuh dunia. – Agensi