Marquez mengaku bertindak melampau


MARQUEZ (kanan) dan Dovizioso bersaing sengit pada tiga pusingan terakhir GP Jepun di Litar Motegi untuk memburu kemenangan.


JEPUN – Jaguh dunia, Marc Marquez memohon maaf kepada pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mengenai cara tunggangannya selepas bertindak melampau dalam perebutan tempat pertama pada saingan Grand Prix (GP) Jepun, Ahad lalu.

Juara dunia tiga kali itu yang sedang memburu gelaran dunia keempat musim ini mempamerkan aksi luar biasa untuk meraih kejuaraan di Motegi apabila menguasai perlumbaan tersebut.

Namun ketika baki tiga pusingan terakhir, terdapat persaingan sengit antara kedua-dua pelumba tersebut dan Marquez terpaksa akur dengan kehebatan Dovizioso apabila pelumba Itali tersebut berjaya memintasnya di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan.

“Saya mahu meminta maaf kepada Dovizioso kerana bertindak di luar batasan pada baki tiga pusingan terakhir perlumbaan.

“Pada saingan tersebut saya yakin mampu untuk memintasnya, namun tindakan itu mengundang padah apabila saya sedikit terbabas.

“Saya berusaha dan mengambil beberapa risiko tetapi apabila jentera sedikit bergegar, saya rasa tidak lagi mampu untuk mengejar Dovizioso kerana jentera Ducati sangat laju ketika itu.

“Secara keseluruhan, persaingan antara saya dengan Dovizioso sangat luar biasa. Saya seronok dapat berjuang dengan pelumba terbaik sepertinya,” kata pelumba Repsol Honda tersebut.

Hasil keputusan itu, Dovizioso kini hanya mencatat perbezaan 11 mata dengan Marquez yang muncul sebagai pendahulu selepas mengumpul 244 mata. – Agensi