Remaja, wanita, netizen pacu ekonomi digital


Golongan wanita yang tidak aktif dalam kegiatan ekonomi boleh dibawa semula ke kegiatan ekonomi dengan berniaga secara online dari rumah. Gambar hiasan


JIKA diteliti, terdapat tiga kumpulan utama yang menjadi jentera penggerak kepada ekonomi digital yang berkembang dengan pantas dan dinamik pada era ini.

Tiga kumpulan penggerak itu adalah golongan remaja, wanita dan pengguna platform digital atau netizen.

Di Malaysia, ketiga-tiga golongan itu boleh dikatakan sebagai komuniti yang memberikan impak utama dan berpengaruh besar dalam memacu perkembangan dunia ekonomi digital.

Siapakah ketiga-tiga kelompok utama ini dan kenapa mereka begitu berpengaruh dalam menggerakkan ekonomi digital di Malaysia?

Apakah keadaan sebenar dan strategi manakah yang sepatutnya diterapkan untuk merebut hati ketiga-tiga kumpulan istimewa itu?

Remaja

Dalam era ekonomi digital, kemahiran untuk membangunkan kandungan iklan digital yang kreatif atau Content is The New Ad merupakan kemahiran yang dipelopori oleh golongan remaja.

Bahkan, penggunaan hashtag yang kreatif sebagai tagline atau #Hashtag is The New Tagline juga menjadi satu wadah baharu dalam pengiklanan digital yang diterajui oleh golongan itu.

Pihak-pihak yang berkepentingan dalam membangun ekonomi digital seperti kerajaan dan pemain industri utama lain yang tidak mengikuti perkembangan ini mungkin akan terkeluar daripada persaingan serta tidak dapat menjalankan fungsi mereka dalam perkembangan ekonomi digital tadi.

Contohnya, firma perniagaan yang gagal mengikuti perkembangan fenomena dalam kandungan pemasaran akan ketinggalan terutamanya oleh jenama-jenama yang menjadikan segmen remaja atau anak muda sebagai golongan sasar.

Ini kerana tuntutan naluri remaja yang selalu menginginkan sesuatu yang baharu dan segar dalam setiap maklumat yang dipaparkan di platform digital apabila ia dikemas kini.

Strategi perniagaan dan pendekatan yang lebih dinamik serta santai diperlukan untuk menguasai pasaran digital pada hari ini.

Wanita

Banyak kajian telah menemukan, dengan adanya ekonomi digital, golongan wanita yang tidak aktif dalam kegiatan ekonomi boleh dibawa semula ke kegiatan ekonomi dengan berniaga secara online dari rumah.

Selain daripada itu, wanita moden juga lebih cenderung untuk melakukan kerja sampingan secara santai dan melibatkan aktiviti yang selari dengan minat mereka.

Penglibatan wanita yang dilakukan untuk menggerakkan ekonomi digital kini dilihat semakin dominan kerana jumlah mereka yang ramai dan minat yang mendalam, baik di media offline dan online.

Dalam konteks itu, jualan digital menjadi semakin relevan dalam kalangan wanita.

Platform digital menjadi jawapan bagaimana kerajaan mahu membawa semula wanita yang tidak bekerjaya ke dalam sektor ekonomi yang diminati untuk memenuhi keperluan ekonomi mereka ketika kecemasan (anxieties) dan hasrat (desire) kaum perempuan saat ini.

Dalam perkembangan teknologi informasi yang berasaskan internet, faktor ini telah menyebabkan banyak organisasi perniagaan berlumba-lumba untuk menguasai pasaran dunia perniagaan digital.

Netizen

Ini telah menyebabkan perniagaan berasaskan platform digital semakin menjadi trend dan berkembang.

Bagaimanapun, saluran perniagaan bersifat offline tidaklah mati atau perlu dipinggirkan kerana inilah yang menjadi tanda kehadiran nyata sebuah jenama di mata pelanggan.

Bagi pemain ekonomi digital yang berjaya, mereka akan menyedari hal ini dan memilih untuk mengintegrasikan kedua-duanya.

Integrasi ini telah mewujudkan satu ledakan model perniagaan terkini iaitu O2O Commerce (online-to-offline commerce).

Bagi membolehkan pihak yang berkepentingan dalam perkembangan ekonomi digital seperti kerajaan dan pemain industri dapat merangka strategi yang ampuh untuk mendepani ketiga-tiga kelompok (sub-culture) penting ini, mereka perlu terlebih dulu memahami kelakuan kelompok tersebut.

Ini kerana kelompok itu sangat terbuka terhadap perkembangan media baharu.

Pihak kerajaan dan pemain industri harus bijak mewujudkan hubungan (engagement), memahami cita rasa serta kehidupan kelompok ini melalui media sosial.