Korban kebakaran di Portugal, Sepanyol cecah 45 orang


POKOK-POKOK yang hangus selepas kebakaran hutan dipadamkan dekat Marinha Grande, Portugal kelmarin. - REUTERS


LISBON, Portugal – Hujan semalaman dan angin yang lebih tenang membantu anggota-anggota bomba ‘menjinakkan’ sebilangan kebakaran hutan yang memusnahkan banyak kediaman dan mengorbankan 41 orang di Portugal serta empat lagi di utara Sepanyol sejak hujung minggu lalu.

Agensi pertahanan awam Portugal berkata semalam bahawa 15 kebakaran hutan terbesar yang marak di tengah dan utara negara itu sudah dikawal tetapi angka korban telah me­ningkat.

“Jumlah kematian meningkat daripada 37 kepada 41 orang,” kata jurucakap agensi ber­kenaan, Patricia Gaspar.

Antara yang terbunuh termasuk seorang bayi berumur sebulan.

“Kebanyakan mangsa mati­

di dalam kereta mereka tetapi kami turut menemui sebahagian­ lagi mangsa di dalam rumah masing-masing,” kata Datuk Bandar Oliveira do Hospital, Jose Carlos Alexandrino kepada saluran televisyen tempatan, RTP dekat Coimbra.

“Bandar ini kelihatan seperti bola api. Ia dikelilingi api yang marak,” tambahnya.

Di seberang sempadan di Galicia, wilayah paling barat Sepanyol dan bersempadan dengan utara Portugal, angka kematian akibat kebakaran hutan yang bermula Ahad lalu meningkat kepada empat orang.

Namun, menjelang semalam, pihak berkuasa menurunkan tahap amaran kebakaran selepas angin tenang menghalang api daripada terus merebak. – AFP