Lokasi wajib penerjun berpengalaman



RAUT wajah pemuda berusia 27 tahun itu tampak tenang sewaktu memanjat anak tangga dan mendaki Gua Damai, Batu Caves, Selangor.

Selepas hampir 15 minit, Hazman Hazizan tiba di puncak gua batu kapur itu. Sewaktu berada di situ, peluh mula mengalir pada mukanya, walaupun ketika itu cuaca mendung serta berangin.

Dia mengambil masa selama beberapa minit untuk berehat dan meneguk air sambil memeriksa beg galas yang dilengkapi payung terjun.

Selepas berpuas hati dengan keadaan beg payung terjun dan kekuatan angin, Hazman berjalan menuju ke platform terjun yang diperbuat daripada besi.

Dengan tenang, dia melompat terjun daripada platform setinggi 96 meter dari paras tanah itu sebelum menarik tali pada beg galasnya untuk membuka payung terjun.

Selepas 15 saat terbang di udara, dia menarik ke bawah kedua-dua tali pengemudi payung terjun untuk mendarat di padang yang terletak di hadapan gua tersebut.

“Sudah banyak kali saya terjun di sini sampai tidak terkira. Setiap kali ingin terjun, perasaan gementar dan takut pasti ada dalam diri.

“Saya bimbang perkara buruk berlaku, terutamanya payung terjun tidak terbuka. Ia boleh menyebabkan saya tercedera dan maut,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Hazman merupakan salah seorang peserta yang menyertai Gua Damai International Base Jump (GDIBJ) 2017.

Base jump merupakan sukan ekstrem yang melibatkan aktiviti terjunan bebas dari bangunan, antena, jambatan dan bumi.

Acara tahunan

Dia yang berasal dari Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur merupakan salah seorang daripada dua peserta dari Malaysia yang mengambil bahagian dalam GDIBJ tahun ini.

Hazman yang mula berkecimpung dalam dunia terjunan bebas sejak tiga tahun lalu memaklumkan, acara GDIBJ sangat ditunggu-tunggu olehnya setiap tahun.

“Kita boleh tengok ramai peserta dari luar negara sanggup berhabis semata-mata untuk terjun di sini.


KEPUASAN jelas terpancar pada wajah seorang peserta GDIBJ selepas berjaya mendarat dengan selamat.


“Saya juga tidak mahu ketinggalan untuk bersama mereka dan menunjukkan kemampuan penerjun dari Malaysia,” katanya yang aktif melakukan terjunan di luar negara.

Acara tersebut turut dihadiri oleh Exco Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd. Rahman.

Sementara itu, Pengurus Besar Wira Adventure Consultan, Mustapa Al-Bakri Omar berkata, GDIBJ 2017 merupakan sebuah acara tahunan yang memasuki penganjuran kali ke-10.

Tahun ini, pihaknya berjaya menarik 110 penyertaan peserta dari 13 negara termasuk Malaysia, Itali, Perancis, Kanada dan Australia.

“Acara ini dianjurkan bertujuan mempromosi Selangor ke peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan sukan ekstrem.

“Ternyata, selepas sedekad dianjurkan, ia telah berjaya menarik lebih ramai penyertaan, terutamanya para peserta dari luar negara,” katanya.

Pemanas badan

Menurut Mustapha, Gua Damai merupakan salah satu daripada empat lokasi terjunan di Malaysia yang wajib dilalui oleh penerjun pada September setiap tahun.

Lokasi terjunan lazimnya bermula di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah; Wisma Sanyan, Sibu, Sarawak; Taman Ekstrem Gua Damai dan terakhir di Menara Kuala Lumpur (KL).

“Gua Damai boleh dianggap sebagai pemanas badan kepada para penerjun ini sebelum mereka terjun dari Menara KL,” ujarnya.

Jelasnya, Gua Damai merupakan salah satu lokasi terjunan bebas dalam kategori bumi terbaik di dunia dan terkenal dalam kalangan penerjun.

Penerjun hanya perlu mendaki selama 15 minit untuk sampai ke puncak sebelum boleh melakukan terjunan.

“Kalau di tempat lain, penerjun perlu mendaki berjam-jam sebelum boleh terjun. Sebaliknya, di sini mereka boleh terjun tiga kali dalam tempoh sejam.

“Lagipun, tidak lengkap buku log seorang penerjun jika tidak ada cop daripada GDIBJ. Cop ini diberikan kepada penerjun yang berjaya melakukan terjunan di sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mustapha menjelaskan, hanya penerjun yang mempunyai pengalaman terjunan lebih 150 kali sahaja dibenarkan terjun di Gua Damai.

Katanya, ini bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sewaktu melakukan aksi terjunan di situ.


SERAMAI 110 peserta mengambil bahagian dalam GDIBJ 2017.


Salah seorang peserta, Peter Kozak, 38, memberitahu, Gua Damai merupakan lokasi wajib dikunjungi olehnya pada setiap tahun.

Lelaki yang berasal dari Toronto, Kanada itu menjelaskan, Gua Damai sangat mencabar kerana ia menguji fokus dan kemahiran para penerjun mengawal payung terjun.

“Ini kali kedua saya datang ke Gua Damai, selepas kali pertama berkunjung ke sini dua tahun lalu. Saya datang semula ke sini untuk mencabar diri.

“Sewaktu berada di udara saya boleh melihat pemandangan indah terutama bumbung-bumbung rumah yang berwarna-warni,” katanya menjadikan aktiviti terjunan bebas sebagai hobi.

Kozak yang merupakan seorang usahawan menambah, dia teruja untuk bertemu kembali rakan-rakan penerjun lain dari seluruh dunia.

Katanya, kebanyakan peserta yang menyertai GDIBJ terdiri daripada penerjun yang mahir dan berpengalaman luas.

Tersasar

Sementara itu, salah seorang peserta, Johnny Saavedra, 59, melalui detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada pokok selepas membuat terjunan pertama.

Dia yang berasal Mexico berkata, sewaktu ingin membuat pendaratan telah berlaku sedikit kesilapan teknikal, sekali gus menyebabkannya tersangkut pada pokok.

“Saya sedaya upaya cuba mengawal payung terjun supaya mendarat ke kawasan selamat iaitu di atas pokok selepas gagal mendarat di padang berhampiran.

“Memang ketika itu saya amat takut dan sedikit cemas apabila tersasar dari kawasan pendaratan sepatutnya,” katanya yang kali pertama terjun di Gua Damai.