Kenali personaliti unik kota Melbourne


Stesen Kereta Api Flinders Street menjadi salah satu mercu tanda di Melbourne.


MENJEJAKI bumi Australia tidak akan lengkap jika tidak sampai ke kota Melbourne. Terletak kira-kira 900 kilometer dari Sydney, kota Melbourne mempunyai personaliti yang unik dan agak berbeza daripada ibu negara Australia itu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Tourism Victoria tahun lalu, jumlah pelancong Malaysia ke Melbourne mencecah 91,000 orang iaitu meningkat 24.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Angka itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bandar tersebut menjanjikan pengalaman percutian cukup istimewa.

Dengan pantai yang indah, flora dan fauna mengasyikkan selain gunung-ganang yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik seperti meluncur salji serta menawan puncak gunung bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, Melbourne sememangnya destinasi paling sesuai untuk percutian anda.

Bagi pencinta seni, bandar raya itu adalah destinasi terbaik mereka kerana masyarakat Melbourne sememangnya amat menghargai segala bentuk nilai seni.

Di sana, berpusatnya dewan-dewan kebudayaan, panggung teater serta pentas-pentas konsert terbesar terkenal di Australia dan tidak ketinggalan Nasional Galeri Victoria yang baru diubah suai.

Sebuah muzium dan akuarium juga baru siap dibina. Penganjuran festival seni dan kebudayaan sesuatu yang lumrah di kota itu yang kebiasaannya akan disambut dengan penuh meriah serta berwarna-warni.

Selain itu, Melbourne juga terkenal sebagai syurga membeli-belah dengan pelbagai penganjuran pertunjukan fesyen terkini selain pesta dan festival sepanjang tahun.

Selain itu, terdapat juga festival muzik tradisional yang diadakan di panggung-panggung teater di kota tersebut.

Satu lagi keistimewaan Melbourne ialah kepelbagaian makanan yang banyak dipengaruhi cita rasa pendatang-pendatang Greek dan Itali yang membanjiri bandar raya itu sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Tidak ketinggalan makanan-makanan etnik lain seperti Vietnam, Thailand, India, Cina, Indonesia, bahkan Malaysia juga.

Jika berhajat untuk menjelajah ke seluruh Victoria, anda boleh menggunakan laluan Great Southern Touring Route (GSTR).

Ia dianggap sebagai salah satu penjelajahan pelancongan terbaik di dunia kerana ia menjanjikan pemandangan indah serta mengagumkan.

Bandar dermaga

Sepanjang perjalanan menggunakan kenderaan darat, anda akan menikmati pemandangan mengasyikkan apabila melalui bandar dermaga Geelong dengan menjelajah laluan tepi pantai yang indah.

Laluan itu juga turut melalui kawasan tinggalan sejarah penduduk asli Australia selain kawasan bersejarah seperti perlombongan emas yang terletak di Ballarat.

Sepanjang perjalanan, anda akan menjelajah pelbagai sejarah yang terdapat di situ selain menikmati pemandangan indah di pergunungan serta laluan pantai yang indah dan mengagumkan.

Banyak tempat menarik yang boleh anda terokai di Melbourne.


Kereta api tenaga wap ini dibina pada zaman Victoria iaitu awal tahun 1900.


Great Ocean Road merupakan sebatang jalan di pesisiran pantai di selatan Australia. Ia menghubungkan Geelong dengan Warrnambool di negeri Victoria dan panjangnya 243 kilometer. Jalan itu dibangunkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Di permulaan Great Ocean Road terdapat sebuah tugu peringatan bagi memperingati usaha mereka yang membangunkan Great Ocean Road. Sepanjang perjalanan dapat disaksikan pelbagai pemandangan yang indah dan menenangkan fikiran.

Di Lorne pula terdapat kawasan yang dibangunkan untuk berkhemah. Kedai-kedai peralatan luncur air boleh didapati di sana kerana kegiatan luncur air amat terkenal di kawasan tersebut. Apollo Bay dan Teddy’s Lookout antara tempat persinggahan yang terkenal.

Pengunjung yang mengambil pakej ke Great Ocean Road kebiasaannya akan bermalam di hotel-hotel yang terdapat di sana.

Twelve Apostles merupakan kemuncak pengembaraan di Great Ocean Road. Keindahan Twelve Apostles iaitu batuan berbentuk tiang di pesisir Taman Negara Port Campbell yang terbentuk hasil hakisan ombak amat mengagumkan.

Walaupun diberi nama Twelve Apostles, apa yang tinggal bukanlah 12 tiang kerana beberapa tiang sudah runtuh.

Peninsula Hot Spring merupakan satu-satunya kawasan yang menempatkan kolam air panas semula jadi di Australia.

Kawasan itu merupakan tempat yang harus dilawati ketika berkunjung ke Mornington Peninsula.

Kolam di sana menawarkan kolam air panas berdasarkan reka bentuk onsen Jepun selain bilik wap Turki dan urutan tradisional bersandarkan tradisi penduduk asli.

Apa yang menarik di Mout Martha Beach ialah di sana terdapat pondok berwarna-warni. Pondok itu adalah kosong dan saiznya kecil. Ia digunakan hanya untuk menukar pakaian mandi atau menyimpan barang persendirian.

Mereka yang membeli pondok kecil ini terdiri daripada golongan kelas atasan yang menyukai hobi sukan air seperti meluncur dan sebagainya.

Pondok seperti itu juga dapat dilihat di Brighton Beach. Harga untuk satu pondok mencecah AUD285,000 (RM900,000) sebuah.

Disebabkan keunikan dan warna-warnanya, ia menjadi satu keunikan di Melbourne. Ramai juga pelancong datang ke sana untuk mengambil gambar bersama rumah kecil yang berwarna-warni ini.

Pulau Philip yang terletak lebih kurang 90 minit pemanduan dari bandar Melbourne itu merupakan tarikan utama bagi mereka yang gemarkan kehidupan aman damai dengan suasana hutan dan binatang liar.

Selain itu, pelbagai tarikan lain boleh didapati di Pulau Philip antaranya kilang coklat Pulau Philip, Maru Koala Park, Rhyll Fishing Park, Penguin Parade dan Wildlife Coast Cruises.

Pelancongan di puncak

Bagi menikmati percutian yang berbeza, anda boleh memilih pakej Victoria Adventure Trail. Ia bermula di Yarra Valley yang menjanjikan pemandangan alam yang memukau selain berkunjung ke kawasan ladang anggur untuk dijadikan wain sebelum berakhir di Great Alpine Road.


Penulis berpeluang menikmati pemandangan di Dandenong Ranges bersama rakan-rakan dengan menaiki kereta api berenjin stim, Puffing Billy.


Untuk menikmati pemandangan di Dandenong Ranges, anda perlu menaiki kereta api berenjin stim, Puffing Billy.

Ia merupakan kereta api tenaga wap yang dibina pada zaman Victoria awal tahun 1900.

Tujuan awal kereta api itu dibina adalah untuk pembukaan laluan terpencil.

Seiring dengan perkembangan zaman, kereta api stim itu kemudian dialihfungsikan sebagai tarikan pelancongan yang menawarkan pengalaman unik di daerah Dandenong Ranges.

Kereta api itu akan berangkat dari kaki bukit di Belgrave yang menempuh jarak 24 kilometer untuk tiba di Gembrook yang berada di daerah pergunungan.

Kepelbagaian budaya dan etnik lebih dirasai apabila memasuki Pasar Queen Vitoria, pasar terbuka (seperti pasar lambak) terbesar dengan sayur-sayuran dan buah-buahan segar selain terdapat juga barangan kulit Australia yang boleh dibeli sebagai cenderamata.

Dari pasar itu anda boleh berjalan terus menyusuri Sungai Yarra yang menjadi kebanggaan penduduk Melbourne sebagaimana penduduk Sydney berbangga dengan Sydney Harbor.

Di pusat bandar pula, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Stesen Kereta Api Flinders Street yang menjadi mercu tanda Melbourne. Dibina pada tahun 1910, ia megah dengan kubah tembaga dan binaan batu berwarna coklat ala binaan di Asia Barat.

Berkunjung ke Melbourne tidak sah jika tidak merasai pengalaman menaiki kereta api atau trem yang menjadi ikon bandar raya itu.

Ia adalah salah satu pengangkutan yang popular dan cara mudah untuk meneroka setiap pelosok bandar raya itu tanpa perlu berpanas terik.

Terdapat trem khas untuk pelancong yang boleh diperoleh di stesen Flinders Street yang di bina sebagai mercu bandar raya itu.

Berpeluang berada di Melbourne sempena Hari Raya Aidiladha lalu memberi satu memori indah bersama komuniti Islam Victoria untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Flagstaff Garden.

Meraikan Aidiladha serba ringkas di taman bersama umat Islam daripada pelbagai bangsa dan negara nyata memberi satu gambaran bahawa perpaduan agama kekal terjalin bagi setiap umat Islam.