ADUN Lahad Datu direman 4 hari


MOHD. YUSOF dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan penyelewengan dana KKLW.


KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang wakil rakyat UMNO bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan tahanan reman selama empat hari ke atas Datuk Mohd. Yusof Apdal, 57, bermula semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu itu ditahan kira-kira pukul 10 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di sini.

Mohd. Yusof yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin serta Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd. Hadi dan Rustam Anip manakala Yusof diwakili peguam Edward Paul serta Philip Lee.

Ketua UMNO Bahagian Silam itu menjadi individu kesembilan ditahan SPRM dan individu ketiga yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Shafie.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.