Awas ajaran sesat di Langkawi


SALAH seorang penganut ajaran sesat sedang melakukan ritual di sebuah rumah di Pulau Tuba, Langkawi.


ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengarahkan anggota penguat kuasa jabatan itu dan Pejabat Agama Langkawi me­lakukan siasatan terhadap kumpulan yang disyaki menyebarkan ajaran sesat di Pulau Tuba, Langkawi.

Pengarah JHEAIK, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya mengarahkan siasatan itu dilakukan apabila terdapat laporan mengenai kegiatan tersebut selepas menerima laporan mengenai penularan satu klip video dipercayai menyebarkan ajaran sesat di pulau berkenaan.

Menurutnya, pihaknya dijangka menerima laporan penuh mengenai ajaran sesat tersebut dalam tempoh terdekat ini.

“Anggota penguat kuasa JHEAIK dan Pejabat Agama Langkawi difahamkan telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti kumpulan terbabit serta ajaran yang disebarkan itu menyalahi dari segi akidah.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, ilmu ini salah dari segi akidah dan fahaman apabila mempersoalkan tentang kesaksian kita kepada Allah SWT serta mempersoalkan syahadat kita,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Video berkenaan yang tular di media sosial sejak seminggu lalu menunjukkan seorang lelaki yang mendakwa sebagai ketua ajaran yang mempersoalkan mengenai kewujudan Allah SWT, syahadat serta rukun solat.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.