Harga halia cecah RM30 sekilogram



MENJADI ramuan penting dalam hidangan sup dan herba membuatkan halia atau nama saintifiknya Zingiber Officinale bernilai tinggi malah membuka pasaran eksport ke luar negara seperti China.

Rentetan daripada itu, ia telah memberi inspirasi kepada Projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) Sungai Dua, Karak, Pahang untuk mengusahakan tanaman ini sejak tahun lalu yang melibatkan 50 hektar di Gunung Karak.

Menurut pengusaha halia di TSB Sungai Dua, Rahimi Idris, 31, tanaman itu menjadi sumber pendapatan baharu memandangkan sebelum ini dia mengusahakan getah, buah-buahan serta sayur-sayuran sahaja.

Teknik

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mengusahakan tanaman halia dalam kuantiti yang besar.

“Saya bersyukur dengan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang banyak membantu untuk menjayakan penanaman ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di TSB Sungai Dua, Karak, Pahang baru-baru ini.

Rahimi yang juga berperanan sebagai penyelia ladang di situ berkata, menanam halia tidaklah memerlukan penjagaan rapi tetapi jika tersilap teknik akan merosakkannya.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, tanah perlu digembur di sekeliling tanaman tersebut setiap tiga minggu sekali untuk memastikan halia membesar dengan cantik.

Melihatkan pasaran semasa bagi penanaman halia yang boleh mencecah sehingga RM30 sekilogram, Rahimi mengakui tanaman itu telah memberi pulangan yang baik.

Dalam tempoh sembilan hingga 11 bulan, tanaman itu akan mencapai kematangan memandangkan ia ditanam secara organik tanpa campuran baja kimia.

Selepas dituai, ia boleh ditanam semula dalam tempoh empat tahun akan datang bagi memberi masa kepada tanah untuk mendapatkan kembali nutriennya.

Halia atau tanaman berubi banyak menyerap nutrien dari tanah.


HALIA Gunung Karak ditanam pada ketinggian 700 meter dari aras laut.


Pulangan

Sementara itu, Pengerusi TSB Sungai Dua, Hamdan Yusop, 53 berkata, projek tersebut telah dibangunkan pada tahun 2016 yang terletak di kawasan Sungai Dua, Mukim Sabai daerah Bentong.

“Ia merangkumi kawasan keluasan 74.8680 hektar yang terletak di Gunung Karak dan pemilik-pemiliknya merupakan penduduk tempatan dari Kampung Tok Muda Haji Mohamad, Karak.

“Projek ini bertujuan menjana pendapatan masyarakat setempat dan memperkenalkan mereka dengan bidang pertanian yang mampu memberi pulangan memuaskan.

“Getah adalah tanaman asas bagi pembangunan kawasan ini dan sebanyak 35,955 pokok telah siap di tanam pada Oktober 2016,” jelasnya yang juga merupakan penghulu Kampung Tok Muda Haji Mohamad, Karak sejak lima tahun lalu.

Seramai 85 orang penduduk kampung tersebut telah menyertai projek TSB yang berumur antara 20 hingga 60 tahun.

Daripada jumlah tersebut hanya 56 orang yang mengusahakan tanaman halia dengan kawasan seluas 50 hektar.

Mengulas mengenai penanaman halia di Gunung Karak, Hamdan memberitahu, idea itu tercetus apabila melihat pengusaha-pengusaha tanaman ini di Bukit Tinggi dan Janda Baik, Pahang.

Potensi

“Tanaman halia di daerah Bentong bermula sekitar tahun 1963 oleh petani kaum Cina iaitu golongan awal yang menanam tumbuhan rizom ini di Kampung Bukit Tinggi.

“Saya melihat potensi yang besar dalam perusahaan tanaman ini tetapi tidak ramai orang Melayu yang menjalankan penanaman tersebut secara besar-besaran.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan halia sebagai salah satu tanaman sampingan di TSB Sungai Dua,” tutur bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Cuaca, tanah berpasir dan lembut serta kedudukan Gunung Karak iaitu 700 meter dari aras laut sangat sesuai untuk tumbuhan ini.

Pengusaha-pengusaha tanaman tersebut banyak menerima bantuan daripada RISDA untuk membangunkan penanaman halia.

Ia berikutan pekebun kecil di Gunung Karak merupakan usahawan di bawah bimbingan RISDA.


KAMPUNG Tok Muda Haji Mohamad telah menghasilkan 15 produk berasaskan halia.


Tambah Hamdan, anak benih halia tersebut diambil dari Bukit tinggi. Kini ia digelar Halia Gunung Karak yang diambil sempena nama tempat itu.

“Sejak diusahakan pada tahun lalu, kini tanaman halia seluas 25 ekar sudah boleh dituai hasilnya.

“Satu ekar tanah boleh menghasilkan 20,000 kilogram halia,” katanya sambil memberitahu akan menjadikan tempat itu sebagai agropelancongan memandangkan ia mempunyai pandangan yang cantik terutama ketika matahari terbit.

Menurut Hamdan, keistimewaan halia Gunung Karak ini ialah rasanya lebih pedas, urat atau serabut lebih halus tetapi tinggi kandungan serat dan air, mudah dipotong dan isinya berwarna kuning cerah.

Bagi mengembangkan lagi perusahaan tersebut, pihaknya telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bentong Ginger House untuk membekalkan halia kepada syarikat tersebut.

Di samping itu, halia tersebut turut dijadikan sebagai produk desa di Kampung Tok Muda Haji Mohamad selepas sebanyak 15 produk telah dihasilkan seperti jeruk, rojak buah, jus, teh, kopi dan sabun.

Buat pertama kalinya, produk-produk ini akan menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) pada 19 hingga 22 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Seorang pengusaha jeruk halia di kampung tersebut, Maslinda Kinot, 47, berkata, dia menyahut seruan untuk menghasilkan produk menggunakan halia sebagai bahan utama.

“Saya sangat sukakan jeruk terutamanya mangga dan di situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan jeruk halia.

“Saya mendapat tunjuk ajar daripada kenalan kaum Cina untuk menghasilkan resipi jeruk halia,” kata ibu kepada lima orang anak yang sudah 25 tahun menetap di Kampung Tok Muda Haji Mohamad.

Jeruk tersebut boleh dimakan begitu sahaja atau digandingkan dengan bubur nasi, sup dan masakan ikan masam manis sebagai penambah rasa.