Cabaran mencari atlet pelapis zaman teknologi


GOLONGAN remaja lebih gemar menghabiskan masa bermain peranti elektronik. – Gambar hiasan


SELEPAS enam dekad, Malaysia masih gagal mengutip pingat emas pada temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik.

Sejak kali pertama menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1956, pencapaian terbaik negara adalah memungut pingat perak.

Pada temasya yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil tahun lalu, negara berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Dua daripada pingat itu disumbangkan oleh jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan raja keirin dunia, Mohd. Azizulhasni Awang.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet itu semakin menghampiri usia persaraan dan mungkin Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun adalah yang terakhir bagi mereka.

Siapakah yang bakal menggantikan mereka untuk memburu pingat buat negara selepas ini?

Persoalan itu masih berlegar-legar dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Namun hakikatnya, usaha mencungkil bakat baharu dan mencari pelapis dalam acara sukan tidak semudah seperti yang difikirkan.

Dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, usaha-usaha mencari atlet pelapis menjadi lebih mencabar dan rumit.

Perkara itu diakui sendiri oleh ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang menganggap kewujudan peranti elektronik seperti permainan video dan gajet menyebabkan usaha mencari atlet pelapis semakin sukar.

Jelasnya, peranti itu membuatkan kanak-kanak dan remaja pada hari ini lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah serta kurang melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

“Zaman telah berubah, ketika zaman saya remaja, sukan dilihat sebagai salah satu bentuk riadah yang baik bagi menghilangkan tekanan di dalam bilik darjah.

“Namun kini, mereka (kanak-kanak dan remaja) beriadah dengan menghabiskan masa menghadap telefon bimbit serta bermain permainan video,” katanya pada sesi dialog pada Majlis Pengiktirafan Atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) oleh Milo di ibu negara baru-baru ini.


KANAK-KANAK perlu diberi pendedahan mengenai sukan. – Gambar hiasan


Peranan ibu bapa

Shalin yang turut menyumbang pingat emas menerusi acara masters wanita pada KL2017 memberitahu, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam sukan.

Katanya, ia boleh dilakukan dengan memberi pendedahan dan maklumat kepada anak-anak mengenai sesuatu sukan seperti bola sepak, bola keranjang, boling dan renang.

“Pendedahan ini boleh dilakukan menerusi tontonan acara sukan melalui kaca televisyen atau membawa anak-anak berkunjung ke venue pertandingan.

“Ibu bapa juga boleh memberikan galak dengan membeli peralatan sukan yang lengkap dan bersesuaian untuk anak-anak mereka,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan pemerhati sukan tanah air mengenai kekurangan atlet pelapis negara.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah kurangnya minat generasi muda pada hari untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh pakar dari sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat mendapati, kanak-kanak dan remaja lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain permainan video serta melayari internet.

Dalam pada itu, bekas guru dan jurulatih bola keranjang negara, Sim Sin Heng berkata, majoriti ibu bapa pada hari ini lebih mementingkan pencapaian dalam pendidikan berbanding sukan.

Dia memberitahu, situasi itu berlaku disebabkan oleh kesedaran masyarakat Malaysia mengenai potensi dan kepentingan sukan dalam kehidupan masih rendah.

“Saya sudah lama menjadi jurulatih. Saya dapati ramai ibu bapa yang melarang anak-anak mereka terlibat dalam sukan walaupun mempunyai potensi besar untuk berjaya.

“Ia akan menyebabkan anak-anak itu berada dalam dilema sebelum mengambil keputusan menarik diri daripada pasukan,” katanya yang kini menguruskan sebuah akademi bola keranjang di Lembah Klang.

Sin Heng memaklumkan, masyarakat perlu sedar bahawa penglibatan dalam sukan tidak hanya bertujuan untuk menjadi juara dalam sesebuah pertandingan atau kejohanan.

Sebaliknya, banyak manfaat lain yang diperoleh menerusi penglibatan dalam sukan seperti kesihatan, motivasi dan interaksi.

“Saya yakin sukan dapat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi corak kehidupan kanak-kanak dan remaja.

“Sukan juga membantu kanak-kanak dan remaja mempelajari nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka seperti kegigihan, semangat berpasukan serta dedikasi agar mereka terus berdaya saing,” tuturnya.