Membela nasib haiwan jalanan Baghdad


SEBAHAGIAN kucing jalanan yang telah dibersihkan.


KEBAJIKAN kucing dan anjing jalanan di ibu kota Baghdad, Iraq sudah lama diabaikan iaitu selepas berlaku peperangan serta suasana tidak aman di negara itu.

Kini, haiwan-haiwan yang sering menghadapi kekejaman dan terbiar di atas jalan raya itu telah dibantu oleh sekumpulan para pencinta haiwan. Kumpulan itu membantu mencari pemilik baharu menggunakan media sosial.

Seorang pelajar kolej pertanian, Assan Attallah, 22, baru saja membantu mencari rumah baharu buat enam ekor anjing yang ditemui di kejiranan Sadr City.

Kejayaan itu adalah yang terbaharu sejak dia dan rakan-rakannya melancarkan laman Facebook, Animal Adoption kira-kira tiga bulan lalu.

Mereka mewujudkan laman tersebut selepas terkenangkan nasib haiwan liar itu di Baghdad.

“Saya memulakan projek ini selepas melihat haiwan itu dianiaya. Ada segelintir individu yang meracun dan membunuh haiwan ini,” ujar Attallah sambil bermain dengan beberapa ekor anak anjing.

“Ramai yang membeli haiwan peliharaan pada harga tinggi. Mengapa tidak haiwan ini? Bawa haiwan ini kepada doktor haiwan dan bersihkannya supaya orang tertarik,” katanya.

Setakat ini, Attallah berjaya mencari rumah baharu kepada 25 ekor haiwan selepas memuat naik gambar secara online.

Bagaimanapun, usaha meyakinkan dan menyedarkan orang ramai supaya mengambil berat terhadap haiwan liar merupakan satu cabaran besar.

Rawat

Sedekad lalu, pihak berkuasa terpaksa menghapuskan beribu-ribu anjing liar menggunakan senapang automatik selepas jumlah haiwan tersebut didapati berlebihan.

Sejak pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 2003, kira-kira 400,000 orang telah terbunuh dan berjuta-juta yang lain terpaksa dipindahkan.


BANDAR Baghdad kembali pulih selepas bertahun-tahun terjerumus dalam kancah peperangan.


Keadaan tidak tenteram itu menyebabkan tumpuan Attallah membantu haiwan sering dipenuhi rasa ketidakpastian.

“Kami juga mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai.

“Orang ramai berkata, kenapa awak bantu haiwan? Ia tidak mempunyai perasaan dan tidak faham apa-apa,” katanya.

Klinik veterinar di utara Baghdad, Ahmad al-Qaissy, 29, dan rakannya, Yaarub al-Shimmary, 30, sibuk menjaga kucing bernama Mishmish.

Mereka memungut kucing itu selepas pemilik sebenar membuangnya. Kedua-dua lelaki terbabit turut mengetuai Persatuan Kebajikan Haiwan Iraq dan terpaksa merawat haiwan yang cedera.

“Kebanyakan haiwan yang kami terima telah didera sama ada oleh kanak-kanak atau orang dewasa. Mereka memerlukan rawatan, pembedahan dan vaksin,” katanya.

Selepas menjalani kehidupan yang penuh bahaya di atas jalan raya, haiwan-haiwan tersebut perlu dipulihkan sebelum diberi kepada pemilik baharu.

“Hanya haiwan yang berada dalam keadaan baik dan tidak takut akan diberi kepada pemilik baharu,” ujar Qaissy.

Seperti Attallah, pasangan itu turut menggunakan media sosial untuk mencari rumah bagi haiwan yang dipungut.

“Kami mempunyai 35,000 ahli dalam Facebook. Apabila ada yang berminat untuk mengambil haiwan, kami akan menanyakan beberapa soalan kepada mereka.

“Ia bagi memastikan haiwan-haiwan ini akan mendapat layanan baik daripada penjaga baharu,” ujar Shimmary.

Bagi haiwan yang bernasib baik kerana mendapat penjaga baharu, kehidupan mereka akan berubah serta-merta.

Marina Jaber, 26, mengambil anjing jalanan berusia 11 bulan sebagai haiwan peliharaannya. Anjing yang diberi nama Majnoona itu datang sendiri ke rumahnya.

Salah satu kaki Majnoona telah hancur selepas dilanggar oleh sebuah kereta dan suami Marina giat berusaha mencari prostetik dari luar negara.

“Saya rasa kita dicipta untuk melengkapi antara satu sama lain. Saya bertanggungjawab terhadapnya,” ujar Marina mengenai haiwan kesayangannya itu. – AFP