Polis Sabah bongkar sindiket penipuan hartanah

19/10/2017 12:40pm


Ramli (tengah) menunjukkan resit transaksi dan pelan projek pusat pelancongan yang akan dibina di Karambunai hari ini.


KOTA KINABALU - Polis Sabah membongkar sindiket penipuan hartanah dipercayai melibatkan mangsa dalam kalangan pelabur China melibatkan projek pusat peranginan di atas tanah seluas lebih 80 hektar di Karambunai Jalan Sepanggar di sini baru-baru ini.

Sindiket terancang itu didalangi oleh seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun melalui penubuhan sebuah syarikat hartanah berdaftar dipercayai menguruskan pembinaan projek di atas tanah tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, penangkapan suspek yang juga pengurus projek membawa kepada serbuan di sebuah syarikat di Industri E33 Likas di sini semalam.

Menurut Ramli, hasil maklumat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendapati pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak meluluskan sebarang projek pembinaan di tanah berstatus kawasan tadahan bukit itu.

"Syarikat yang diterajui suspek dipercayai menganjurkan jamuan makan malam mewah di sebuah hotel dan pelancaran projek pada 16 Oktober lalu.

"Mereka juga melakukan promosi secara besar-besaran dan siaran secara langsung mengenai projek tersebut," katanya di sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Ramli berkata, dalam serbuan di syarikat suspek polis menemui bukti berupa resit transaksi bayaran melibatkan pertukaran wang asing.

"Berdasarkan resit yang ditemui transaksi dilakukan melibatkan beberapa negara sepeti China, Hong Kong dan Taiwan,"katanya.

Tambahnya sehingga kini tiada mangsa yang tampil membuat laporan polis. - K! ONLINE