Terengganu catat peningkatan masalah katarak mata

19/10/2017 3:24pm


Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU - Bilangan penduduk Terengganu yang mengalami masalah kesihatan mata akibat katarak menunjukkan trend peningkatan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Saifur Rahman Mohammad berkata, sebanyak 4,607 penduduk negeri ini telah menjalani pembedahan katarak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sejak tahun 2014.

"Berdasarkan rekod, seramai 961 pesakit selamat menjalani pembedahan katarak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada tahun 2014, diikuti 1,065 pesakit pada tahun 2015, 1,391 pesakit pada 2016 dan sehingga September ini pula seramai 1,190 pesakit telah dibedah.

"Antara penyebab utama masalah penglihatan terhad dan kebutaan selain disebabkan oleh katarak adalah diabetik retinopati, glaukoma dan ralat refraktif (rabun penglihatan yang tidak dirawat)," katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringat Terengganu di HSNZ di sini hari ini. - K! ONLINE