Peruntukkan bagi penjaja dan peniaga kecil dalam Bajet 2018

19/10/2017 3:44pm


Majlis pelancaran Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muda peringkat negeri Kelantan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahaya Mamat hari ini.


KOTA BHARU - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia yang mempunyai lebih 2.5 juta ahli berharap kerajaan memberi fokus kepada golongan peniaga dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan minggu depan.

Timbalan Presidennya, Hussein Mohamad berkata, fokus tersebut termasuk menambah peruntukkan kepada persatuan peniaga selain melonggarkan syarat pinjaman kepada mana-mana peniaga khususnya golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.

"Saya harap Perdana Menteri pertimbangkan supaya peruntukkan ditambahkan bagi memudahkan golongan peniaga khususnya penjaja kecil mendapat modal untuk memulakan perniagaan.

"Dengan adanya peruntukkan ini, sedikit sebanyak dapat menampung peniaga kecil ini dan lebih lagi penglibatan peniaga muda yang sememangnya memerlukan sokongan daripada kerajaan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muda peringkat negeri Kelantan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahaya Mamat.

Turut hadir, Naib Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Osman Mamat; Setiausahanya, Ahmad Selamat dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kelantan, Abdullah Ibrahim. - K! ONLINE