Restoran diarah tutup rakaman video tikus tular

19/10/2017 6:06pm


Pemeriksaan Jabatan Kesihatan negeri di premis tersebut mendapati terdapat kesan infestasi tikus serta lipas. - Gambar fail


SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengarahkan sebuah restoran di Nilai Impian dekat Nilai ditutup selama 14 hari bermula hari ini apabila rakaman video kehadiran tikus di ruang penyediaan makanan di premis itu tular semalam.

Restoran berkenaan diarah tutup selepas Jabatan Kesihatan negeri mendapat aduan daripada orang awam apabila satu rakaman video haiwan itu berkeliaran di tempat makanan yang disiarkan di laman Instagram Kosmo! Online.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, pihaknya bertindak menjalankan pemeriksaan di restoran terbabit pada pukul 11 pagi tadi sejurus menerima aduan mengenai isu itu.

"Satu siasatan dibuat segera pada pagi ini. Pemeriksaan di premis di Nilai Impian tersebut mendapati terdapat kesan infestasi tikus serta lipas.

"Sehubungan itu, restoran berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini di bawah Akta Makanan 1988 serta dikenakan kompaun RM300," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE