Restoran digital pertama Pizza Hut

PELANGGAN berpeluang menggunakan menu Augmented Reality iaitu memaparkan makanan dengan animasi-animasi yang membangkitkan selera.


PENGENDALI rangkaian restoran Pizza Hut Malaysia (Pizza Hut), QSR Brands (M) Holdings Bhd., memperkenalkan sebuah restoran konsep digital yang diperbaharui dan aplikasi mudah alih baharu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kedua-dua inisiatif itu berjaya melonjakkan Pizza Hut dalam transformasi digitalnya, sekali gus menyokong misi rangkaian tersebut untuk menjadikan proses membeli piza Lebih Senang dan memberikan pengalaman Lebih Baik kepada pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Merrill Pereyra, pihaknya kembali kepada teras sesebuah industri makanan dalam membangunkan strategi digital Pizza Hut.

Katanya, pengalaman pelanggan merupakan aspek paling utama dan digital bukanlah sekadar penggunaan teknologi semata-mata kerana ia juga untuk memastikan kepuasan para pelanggan.

“Kami sedang giat melaksanakan strategi transformasi digital bagi jenama Pizza Hut dengan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk dari segi belian online atau mempertingkatkan pengalaman pelanggan yang makan di restoran.

Pengalaman pelanggan

“Kami merancang untuk mengembangkan lagi konsep digital ini di beberapa restoran lain dan mempertingkatkannya dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memudahkan proses pembelian piza kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran restoran digital pertama Pizza Hut di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Tambah Pereyra, restoran berkonsep digital baharu Pizza Hut itu juga memberikan pelanggan pengalaman digital daripada saat mereka melangkah masuk ke restoran, membuat pesanan, menikmati hidangan dan keluar.


DARI kiri: Ketua Eksekutif Pemasaran Pizza Hut Malaysia Jean Ler, Pereyra (tengah) dan Eric pada majlis perasmian restoran Pizza Hut berkonsep digital di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.


“Daripada panel digital pesanan dan pengurusan barisan yang terletak di luar restoran, hinggalah robot penyambut tetamu di dalam, restoran ini telah direka khas untuk berfungsi secara digital.

“Di restoran berkonsep digital baharu Pizza Hut juga, kesemua pekerja dilengkapi dengan tablet untuk mengambil pesanan dengan lebih efisien dan tepat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pizza Hut Malaysia, Eric Leong berkata, restoran baharu itu merupakan cawangan pertama Pizza Hut di Asia Pasifik untuk menampilkan Kios Bawa Pulang Digital.

Katanya, kios itu membolehkan pelanggan membuat pesanan dan bayar dengan lebih pantas, menjadikan proses itu lebih cekap serta mengurangkan masa menunggu.

“Pelanggan dapat menggunakan menu Augmented Reality dengan keupayaan untuk berinteraksi sambil memaparkan makanan serta animasi-animasi yang membangkitkan selera.

“Pengalaman digital ini berterusan selepas pesanan telah dibuat, dengan penyediaan permainan digital yang menarik untuk memastikan para pelanggan akan terhibur sambil menunggu piza mereka,” katanya.

Bagi pelanggan yang lebih suka menikmati piza yang dihantar ke rumah, Pizza Hut mula membuat pengalaman itu lebih baik dengan pembaharuan laman webnya pada awal Mei lalu.

Ia dilengkapi dengan mekanisme pesanan, navigasi dan penjejakan yang lebih mudah.

Eric memberitahu, Pizza Hut kini telah mengambil langkah seterusnya dengan pelancaran rasmi aplikasi mudah alih mereka.

“Aplikasi ini akan menjadikan proses pesanan piza satu pengalaman yang lebih mudah dan bermanfaat. Aplikasi ini bertujuan mengingati pesanan dan pilihan pelanggan yang terakhir termasuk alamat penghantaran sebelumnya supaya pelanggan tidak perlu memasukkan data berulang kali.

“Dengan data GPS dan data lokasi yang terbina di dalam kebanyakan telefon mudah alih hari ini, aplikasi itu dapat mengesan lokasi pelanggan dan menjadikan proses menempah semudah satu klik sahaja.

Mata ganjaran

“Pemantauan status penghantaran juga memudahkan pelanggan menjangka bila piza mereka akan tiba,” ujarnya.

Di samping membuat proses memesan lebih mudah, aplikasi Pizza Hut juga memberi ganjaran dengan setiap pesanan yang dibuat oleh pelanggan.

Dengan setiap pesanan, pelanggan akan diberikan mata ganjaran yang boleh ditebus untuk ganjaran seperti hidangan sampingan, minuman ataupun piza percuma.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pizza Hut dan promosi terkini, layari laman web www.pizzahut.com.my dan www.facebook.com/pizzahutmalaysia/.