Terpedaya akibat skim cepat kaya


IMEJ kekayaan digunakan oleh sindiket penipuan untuk mengaburi mata dan fikiran orang ramai. Gambar hiasan


DI Malaysia, isu penipuan dalam pelbagai skim perniagaan dan melibatkan personaliti ternama adalah hal yang tidak pernah selesai. Pada tahun 1990-an, kita terdengar mengenai skim cepat kaya yang telah menarik ribuan orang untuk turut serta.

Walaupun pada akhirnya, peserta yang terlibat kehilangan wang mereka tetapi kemudian muncul pula banyak skim sama dengan cara lain.

Kaedah yang digunakan mungkin berbeza tetapi matlamatnya adalah sama iaitu memperdaya orang ramai sama ada untuk mendapat harta atau wang dengan cara singkat.

Umumnya, kaedah yang digunakan adalah berbeza, namun watak memperdaya orang ramai ini tetaplah sama.

Mereka menunjukkan ciri-ciri kekayaan atau membawa bersama pelbagai gelaran di depan nama.

Gelaran-gelaran ini adalah lambang kedudukan mereka supaya dianggap sebagai seorang yang boleh dipercayai.

Ciri-ciri kekayaan pula adalah bukti kejayaan mereka. Dengan adanya kedua-dua ciri ini, ia akan memudahkan orang ramai terpedaya.

Seorang yang mempunyai gelaran tertentu tetapi tidak mempunyai kekayaan yang luar biasa akan dianggap biasa.

Sementara, mereka yang ada kekayaan tetapi tidak membawa gelaran di depan namanya turut dianggap biasa.

Dalam kebanyakan kes, kedua-dua fenomena ini telah menyebabkan orang ramai terperangkap dengan illusory correlation.

Kita menghubungkan dua perkara yang dianggap berkaitan, walaupun tidak semestinya mempunyai perkaitan.

Ia menjadi semakin teruk apabila kita perlu berhadapan dengan perkara yang dikatakan sebagai false dilemma atau dilema palsu.

Ia berlaku apabila minda kita seolah-olahnya hanya boleh memilih salah satu daripada dua pilihan. Misalnya, anda ialah seorang yang baik tetapi pada suatu hari, anda telah menolak pandangan seorang ustaz.

Jadi, menolak pandangan ustaz tadi telah menyebabkan wujudnya dilema palsu betapa pandangan ustaz telah menjadikan kita manusia yang jelik. Dalam banyak kes, dilema palsu selalu wujud dalam kehidupan kita.

Misalnya, ketika ke pasar raya atau bank, kita akan mendapati ada lelaki yang berkopiah putih atau wanita berjilbab sedang membacakan ayat suci al-Quran sambil meminta sedekah.

Adakalanya kita terpaksa memberikan wang kepada mereka bukan kerana memikirkan individu tersebut kesempitan wang tetapi kerana mereka ialah orang yang dilihat warak.


SKIM cepat kaya telah menarik ribuan orang untuk turut serta. Gambar hiasan


Dilema palsu

Sekiranya tidak memberikan sedikit sedekah, kita merasa seolah-olahnya tidak mengikuti ajaran agama.

Bagaimana pula dalam banyak kes penipuan sindiket ini? Apabila kita didatangkan janji-janji menarik dan personaliti yang mempunyai gelaran, kita sebenarnya sedang dihidangkan dengan dilema palsu.

Apabila mereka meminta membuat pelaburan tertentu, sekiranya kita menolaknya, ia dianggap keputusan bodoh.

Ini kerana mereka yang mempromosikan produk itu adalah manusia bijak dan mempunyai pendidikan yang baik.

Kita juga mungkin berada dalam dilema kerana memilih menjadi seorang yang susah, sedangkan ditawarkan dengan begitu banyak janji kesenangan.

Secara rasionalnya, minda kita sudah boleh menolak orang luar yang datang dengan janji-janji indah ini.

Misalnya, dalam dunia yang logik tidak banyak orang yang suka untuk menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

Umumnya mereka yang menyambung pengajian PhD ini ialah sama ada mereka yang bekerja di universiti atau agensi tertentu.

Mengapa individu yang ada gelaran ini perlu masuk ke kampung-kampung untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka?

Logik yang lain ialah mereka yang ada gelaran doktor, biasanya juga menulis buku atau aktif dengan aktiviti kemasyarakatan tertentu.

Mengapa tiba-tiba sahaja orang yang mengaku ada gelaran ini tiba-tiba aktif dalam perniagaan, malah sangat baik untuk membantu orang ramai?

Jadi, dengan sedikit pemahaman mengenai persepsi manusia, kita mungkin dapat menghindar daripada terlalu teruja dengan status manusia.

Adakalanya kegagalan kita untuk menolak manipulasi pelbagai skim palsu ini bukanlah kerana individu yang datang itu hebat atau luar biasa.

Dalam kebanyakan kes, ia berpunca daripada kelemahan kita sendiri kerana beranggapan manusia berperwatakan menarik dan berstatus tinggi ialah individu istimewa yang mampu mengubah hidup kita.

Jika hidup ini terlalu mudah, sudah pastilah kita semua tidak perlu berusaha. Hakikatnya tidak.

Kehidupan memerlukan usaha yang kuat dan adakalanya perlu mengorbankan diri sendiri untuk berjaya.