Hotel bersejarah di Myanmar terbakar, seorang warga asing terkorban

AFP - ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di Hotel Kandawgyi Palace, Yangon, Myanmar semalam.


YANGON Seorang warga asing terbunuh dan dua lagi cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di Hotel Kandawgyi Palace, resort terkenal terletak di tepi tasik Kandawgyi, Yangon awal pagi semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Kebakaran pada pukul 3 pagi (waktu tempatan) itu hampir membakar sepenuhnya bangunan hotel berkenaan, manakala api berjaya dikawal hampir empat jam kemudian.

Semua mangsa yang cedera termasuk seorang anggota bomba dibawa ke Hospital Besar Yangon.

Sejumlah 90 tetamu termasuk sebilangan pelancong asing telah dipindahkan ke hotel berdekatan, Hotel Chatrium, kata jurucakap jabatan bomba kepada Xinhua.

Kebakaran itu bermula di tingkat lima Hotel Kandawgyi. Ia merupakan kebakaran terbesar setakat ini dan memerlukan lebih 300 anggota bomba dan penyelamat lain untuk memadamkannya, tambah jurucakap tersebut.

Siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran sedang dijalankan.

Hotel Kandawgyi Palace merupakan hotel bersejarah yang dibina pada tahun 1979. Hotel itu menampilkan 10 banglo yang dibina daripada kayu jati sebelum diperbesarkan pada 1993.

Diuruskan oleh Htoo Group of Companies, hotel lima bintang itu mempunyai 195 bilik, beberapa taman dan pokok-pokok hutan hujan. Bernama