Krisis Catalonia makin kusut


GAMBAR salinan surat yang dihantar oleh Puigdemont kepada Rajoy semalam.


MADRID – Kerajaan persekutuan Sepanyol menyatakan semalam bahawa ia akan memansuhkan kuasa autonomi Catalonia dan melaksanakan pemerintahan secara langsung selepas pemimpin wilayah berkenaan mengugut akan meneruskan pengisytiharan kemerdekaan sekiranya Madrid enggan berunding.

Dalam keputusan di luar jangkaan sejak sistem demokrasi pulih di Sepanyol pada penghujung 1970-an, Perdana Menteri Mariano Rajoy berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet esok bagi meneruskan langkah tersebut.

Parti pembangkang Sepanyol, Parti Sosialis memberitahu, ia menyokong keputusan kerajaan tetapi mencadangkan supaya skop dan masa tindakan tersebut dihadkan.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont gagal mematuhi tarikh akhir pukul 10 pagi semalam untuk menggugurkan kempen kemerdekaan wilayah ber­kenaan.

Beliau sebaliknya mengugut Rajoy de­ngan perisytiharan kemerdekaan rasmi di Parlimen Catalonia.

Kenyataan Rajoy dan Puigdemont meningkatkan ketidaktentuan berhubung kemelut politik itu yang berlanjutan lebih sebulan. Krisis Catalonia juga dikhuatiri mencetuskan kekacauan dan menjejaskan mata wang Euro.

“Sekiranya Madrid terus menghalang rundingan dan meneruskan tekanan, Parlimen Catalonia boleh memilih untuk meneruskan pengisytiharan kemerdekaan,” kata Puigdemont dalam suratnya kepada Rajoy.

Sekiranya Rajoy mengaktifkan Artikel 155 di bawah perlembagaan tahun 1978 yang membenarkan beliau mengambil alih Catalonia, perintah itu hanya boleh dikuatkuasakan seawal minggu depan kerana memerlukan kelulusan Parlimen Sepanyol.

Masa itu boleh digunakan Puigdemont untuk mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia secara unilateral. – Reuters