15,000 kanak-kanak kecil mati setiap hari akibat penyakit boleh dirawat


SEORANG bayi ditempatkan di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Sangareddy, negeri Telangana, India pada Selasa lalu.


NEW DELHI – Di sebalik penurunan kadar kematian bayi, sebanyak 15,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun meninggal dunia pada setiap hari di seluruh dunia akibat pelbagai penyakit yang dapat dibendung, kata laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Laporan itu memberi amaran bahawa lebih 60 juta anak kecil akan mati bermula sekarang hingga tahun 2030 akibat penyakit yang dapat disembuhkan ekoran sebahagian negara di Asia Selatan dan Afrika gagal memberikan rawatan lebih baik.

Pada tahun 2016, dianggarkan 5.6 juta kanak-kanak mati sebelum usia mereka mencecah lima tahun, kata Tabung Kanak-Kanak PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Bank Dunia dalam laporan itu.

Angka itu merupakan penurunan besar berbanding 12.6 juta kematian pada tahun 1990.

Namun, agensi-agensi berkenaan berkata, 15,000 kematian membabitkan kanak-kanak bawah usia lima tahun pada setiap hari adalah tinggi dan tidak boleh dibiarkan.

Penyakit seperti pneumonia, cirit-birit dan malaria mendahului senarai pembunuh kanak-kanak yang boleh dicegah.

Namun laporan sama menyatakan, kekurangan zat makanan yang mengakibatkan kanak-kanak lebih terdedah kepada pe­nyakit serius menyumbang separuh daripada angka kematian tersebut.

Negara-negara sekitar Gurun Sahara di Afrika mencatatkan kadar kematian bayi tertinggi dengan purata 79 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran pada tahun 2016.

Namun, India merekodkan angka kematian tertinggi dengan lebih 850,000 kematian, manakala Nigeria di tempat kedua dengan lebih 450,000 kematian.

– AFP