Israel lulus 2,600 kediaman Yahudi di wilayah Palestin


IMEJ fail menunjukkan penempatan Tal Rumeida di bandar Hebron, Israel pada 9 Oktober lalu.


BAITULMUQADDIS – Pihak berkuasa Israel semalam meluluskan satu lagi pelan untuk membina kediaman peneroka haram Yahudi secara besar-besaran di wilayah Palestin, Tebing Barat, menjadikan angka keseluruhan kediaman berkenaan meningkat kepada lebih 2,600 pada minggu ini, kata badan pemantau penempatan Yahudi, Peace Now.

Badan bukan kerajaan itu berkata, kira-kira 1,323 unit rumah mendapat lampu hijau semalam, manakala 2,646 unit lagi dibentangkan untuk kelulusan pada minggu ini dalam usaha rejim Zio­nis meluaskan lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Kelulusan terbaharu itu termasuk 102 kediaman di Amichai. Ia merupakan penempatan baharu Yahudi pertama di wilayah Palestin yang dibina oleh kerajaan Israel dalam tempoh kira-kira 25 tahun.

“Kami melakukan pembinaan pada kadar yang tidak dapat ditandingi sejak tahun 2000,” kata Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman kelmarin berhubung pembinaan penempatan haram Yahudi.

Peace Now berkata, keghairahan rejim Zionis membina kediaman Yahudi itu mengakibatkan penyelesaian dua negara untuk krisis Palestin-Israel semakin sukar dicapai.

Pihak berkuasa Israel berkata, kira-kira 12,000 unit rumah akan diberikan kelulusan tahun ini, empat kali ganda lebih banyak berbanding 2016. – AFP