KWSP, Uber meterai MoU SP1M


SP1M antara lain menggalakkan para pemandu Uber membuat tabungan demi masa hadapan.


KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Uber Malaysia bagi menggalakkan para pemandunya membuat tabungan dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).

SP1M telah direka bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau tanpa pendapatan bulanan yang tetap seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah dan mereka yang bekerja dengan bebas.

Ia termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara membuat simpanan kepada dana persaraan yang diuruskan oleh KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, SP1M yang diperkenalkan pada 2010 merupakan respons kepada peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang bekerja secara bebas dan tidak mempunyai simpanan atau aset kewangan yang cukup untuk persaraan mereka.

“Kami sukacita apabila Uber berkongsi keprihatinan ini dan bersetuju untuk menjadi rakan kongsi kami.

“Uber juga telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu mengadakan siri-siri ceramah KWSP mengenai perancangan kewangan dan membenarkan kami untuk mempromosikan pelan persaraan bagi pemandu Uber,” kata Shahril dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.