Putera Banjar penyatu Indonesia-Malaysia

ALLAHYARHAM Pak Saiful akan dikenang sebagai ‘pengikat’ hubungan Indonesia dan Malaysia.


HUJAN gerimis yang mengiringi jenazah arwah Pak Saiful di Bogor, Indonesia Isnin lalu bagai titis-titis air mata langit Nusantara yang menangisi pemergiannya. Arwah Pak Saiful atau nama penuhnya Mohamad Saiful Hadi Idham telah meninggalkan jasa yang tidak terhitung dalam jalinan silaturahim serumpun Indonesia dan Malaysia pada dekad-dekad terakhir kehidupannya.

Kedudukannya sebagai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) di Indonesia, Presiden Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan Pengasas Yayasan Kerukunan Indonesia-Malaysia (YAKIM) cukup membuktikan aspirasinya dalam mengeratkan hubungan dua hala antara dua negara bersaudara itu.

Allahyarham Pak Saiful, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung menghembuskan nafas terakhir di Hospital Siloam, Jakarta pada pukul 10.30 malam Ahad lalu.

Anak ulama


Ahli keluarga Allahyarham Pak Saiful memberikan penghormatan terakhir kepada jenazahnya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.


Penasihat Kanan Kantor Berita Nasional Indonesia (ANTARA) dan bekas Ketua Pengarang ANTARA itu dilaporkan sering keluar masuk hospital kerana menderita diabetes.

Lebih syahdu, setelah sibuk melakukan persiapan majlis perkahwinan anaknya, Sahira, yang dijadualkan bulan depan, arwah tidak sempat menyaksikan anaknya mendirikan rumah tangga. Pernikahan anaknya dipercepatkan dan dilangsungkan dalam suasana pilu Isnin lalu di depannya sebagai jenazah.

Allahyarham Pak Saiful ialah insan yang lahir daripada keluarga berpengaruh di Indonesia. Arwah bapanya ialah pemimpin Nahdatul Ulama dan mantan Wakil Perdana Menteri Indonesia, Idham Chalid yang digelar Pahlawan Nasional dan wajahnya tertera pada wang kertas not 5,000 rupiah republik Indonesia.

Allahyarham dilahirkan pada 14 September 1958 di Jakarta, Indonesia. Isterinya, Rina Hermina dan mereka memiliki tiga cahaya mata.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 1988, Allahyarham Pak Saiful digelar Putera Banjar oleh ANTARA saat dilaporkan memimpin agensi berita itu pada tahun 2012.

Kehadiran Pak Saiful sebagai tokoh media di Indonesia memberikan rahmat kepada hubungan dengan Malaysia.

Sekiranya berlaku isu ketegangan yang membabitkan Indonesia dan Malaysia, beliaulah watak penting di sebalik tabir yang meredakannya berasaskan persefahaman dan keakraban yang sedia terbina dalam kalangan media massa kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya berkata, arwah berperanan sebagai orang tengah yang menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang berlaku antara Malaysia dan Indonesia.

Jelas Chamil, arwah menyampaikan penerangan mengenai isu pendatang haram, pencerobohan nelayan di kawasan perairan dan berkaitan penderaan pembantu rumah dari perspektif Malaysia kepada media-media di Indonesia.

“Beliau juga yang bertanggungjawab meredakan api kemarahan jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengadakan tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Indonesia,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Chamil berkata, pada 2011, bertunjangkan usaha Saiful juga telah berlangsungnya program Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia-Indonesia yang diadakan di Bukit Tinggi, Indonesia.

“Walaupun wajahnya nampak seperti seorang yang serius, beliau sebenarnya suka berjenaka.

“Beliau juga sering meraikan tetamu terutamanya media Malaysia yang mengadakan lawatan ke Indonesia,” katanya.

Pengerusi ISWAMI di Malaysia yang merupakan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh pula menganggap arwah sebagai jambatan kukuh yang menyatukan media kedua-dua negara.

Akrab


Sebagai tokoh penting media, Allahyarham Pak Saiful sering berhubung rapat dengan Presiden Indonesia, Jokowi Widodo dan pemimpin-pemimpin Indonesia.


“Arwah yang saya kenali merupakan seorang yang jujur dan sentiasa berhasrat untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab dalam kalangan media Malaysia dan Indonesia. Arwah juga menjemput media Malaysia ke Hari Pers Nasional Indonesia di Ambon, Februari lalu dan beberapa Hari Pers Nasional sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Media Prima Berhad dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaafar berkata, arwah merupakan seorang wartawan veteran dan tokoh yang begitu disegani di Indonesia.

“Apabila dimaklumkan tentang pemergiannya saya begitu terkejut,” katanya yang mengenali arwah sejak sembilan tahun lalu.

Tambahnya, Pak Saiful bukan sahaja mahu melihat hubungan yang akrab dalam kalangan wartawan dua negara itu bahkan dalam bidang-bidang yang lain juga.

“YAKIM telah diasaskan oleh arwah Saiful sendiri. Atas tujuan kerukunan, arwah telah menubuhkan yayasan itu yang disertai oleh wartawan, ahli politik, ahli ekonomi dan kebudayaan,” kata Johan.

Rakan arwah dan anak buahnya di ANTARA, Aulia Badar yang merupakan Pengurus Piawaian ANTARA mendedahkan, arwah sangat peka tentang isu-isu yang membabitkan hubungan Indonesia dan Malaysia.

“Apabila tercetus sahaja ketegangan yang melibatkan dua negara ini, beliau akan segera mengumpulkan ketua-ketua editor media di seluruh Indonesia untuk membincangkannya agar isu-isu dapat lebih difahami dengan lebih jelas.

“Arwah jugalah yang bersetuju untuk mengadakan usaha sama antara ANTARA dan akhbar di Malaysia sehingga terhasilnya ruangan Khabar Indonesia yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada setiap hari Jumaat,” ujar Aulia yang merupakan mantan koresponden ANTARA di Kuala Lumpur.

Aulia menyifatkan arwah sebagai seorang yang berfikiran positif dan bersangka baik dengan siapa sahaja.

“Biarpun beliau anak kepada mantan Wakil Perdana Menteri Indonesia, arwah seorang yang merendah diri.

“Arwah baik sekali. Sehinggakan, sebelum dia meninggal dunia tetap berkali-kali memohon maaf atas kesilapannya walaupun bagi kami tidak ada perlakuan silap atau jelik pada dirinya.

“Saya berharap agar akan ada ‘pengganti’ sepertinya. Pak Saiful juga pernah berpesan, komunikasi dengan Malaysia harus berterusan, biarpun setelah dia tidak berada di posisi ‘bos’ lagi,” katanya.

Dari segi karakter, seorang rakan arwah, Asro Kamal Rokan menceritakan, arwah seorang yang gemar membantu siapa sahaja dan menjaga silaturahim.

“Hidup baginya satu keramaian. Dia berada dalam keramaian itu. Ketika Tarman Azzam, Ilham Bintang, Syamsuddin Ch Hasey dan saya memintanya menjadi Ketua ISWAMI untuk Indonesia, Saiful dengan senang hati menguruskan organisasi ini. Energinya selalu berlebih untuk kebaikan,” katanya.

Kain batik


ALLAHYARHAM Pak Saiful bersama mantan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno; Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak semasa menghadiri pelancaran Khabar Indonesia di pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur pada 2015. Allahyarham Mohamad Saiful Hadi menjadi instrumental kepada pelancaran Khabar Indonesia Kosmo!.


Sementara itu, wartawan terkenal yang juga Setiausaha Kerja ISWAMI dari Malaysia, Sabaruddin Ahmad Sabri menyifatkan arwah seorang yang kuat agama namun tidak menunjuk-nunjuk.

Sempat menatap wajah Pak Saiful sebelum arwah menutup mata, Sabaruddin percaya dirinya merupakan individu terakhir dari Malaysia yang menemui arwah di Jakarta pada Jumaat lalu.

“Kami tahu arwah sakit tetapi tidak pasti sejauh mana keadaannya. Atas permintaan Datuk Zulkefli Salleh, saya telah pergi ke rumahnya di Jakarta.

“Sedih hati saya apabila melihat rakan yang selama ini ceria langsung tidak boleh bercakap. Dia hanya menganggukkan kepala apabila saya memanggilnya. Isterinya memberitahu, arwah begitu teruja menantikan kedatangan saya sehingga dia tidak mahu tidur.

“Saya sempat mengucup dahinya dan memegang tangannya,” ujarnya yang menerima berita kematian Pak Saiful sebaik tiba di Malaysia.

Kepada Sabaruddin, memori persaudaraan antara mereka berdua tetap bersemadi di ingatan. Bahkan, tiga helai kain batik belum berjahit yang pernah dihadiahkan arwah ketika berkunjung ke Malaysia menjadi kenangan.

“Saya juga ingat arwah pernah menitip kata: ‘Kalau kita bergaduh, ke mana akhirnya nanti? Kita ini satu bangsa yang hanya dipisahkan oleh penjajah’,” ujarnya.