Antartika ekosistem paling sihat di bumi

Usaha membangunkan kawasan perlindungan marin dijangka dapat memelihara ekosistem hidupan laut.


“Survival hidupan laut di Antartika sangat sukar,” kata Pengurus Sains Laut, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Australia, Chris Johnson.

Kenyataan tersebut merujuk kepada kematian ribuan ekor anak penguin spesies Adelie yang tinggal dalam koloninya di timur Antartika akibat kebuluran baru-baru ini.

Ia dipercayai berpunca daripada perubahan ais di laut yang menebal secara luar biasa sekali gus memaksa penguin dewasa mengembara lebih jauh untuk mencari makanan.

Bencana kedua terburuk itu berlaku dalam tempoh lima tahun selepas tiada anak-anak penguin yang terselamat pada tahun 2015 kerana masalah yang sama.

Pada hematnya, langkah segera perlu diambil dengan menjadikan bahagian di timur Antartika sebagai kawasan perlindungan marin sekali gus memastikan masa depan hidupan liar dan biodiversiti marin lebih terpelihara.

Laut Ross yang terletak di Antartika memiliki lebih sejuta pasang penguin Adelie, 28,850 pasang penguin maharaja, 30,000 sehingga 50,000 anjing laut, 5.5 juta petrel Antartika dan 21,000 pasang ikan paus.

Menjadi salah satu habitat hidupan laut terbesar di dunia, Antartika menyimpan pelbagai spesies hidupan baharu yang belum diteroka.

Justeru, ia sangat kritikal bagi para saintis untuk mengkaji fungsi ekosistem marin dan memahami impak perubahan iklim terhadap laut.

Oktober tahun lalu, Komisen Pemuliharaan Sumber Hidupan Marin Antartika (CCAMLR) telah meluluskan konsensus terhadap usul yang telah dibentangkan oleh Amerika Syarikat dan New Zealand menjadikan perairan Laut Ross sebagai santuari marin terbesar dunia.

Ia dimeterai hasil persetujuan 24 buah negara dari Kesatuan Eropah termasuk Rusia, China dan Amerika Syarikat dalam perjumpaan tahunan CCAMLR di Hobart, Australia.

Kawasan perlindungan hidupan laut di Antartika yang berkeluasan 1.55 juta kilometer persegi itu dianggarkan sebesar gabungan negara Britain, Jerman dan Perancis.

Titik perubahan


Antartika menjadi habitat hidupan laut terbesar di dunia.


Matlamatnya ialah memperkasa perlindungan marin yang komprehensif demi kepelbagaian hidupan marin dan habitat Antartika. Status baharu tersebut bererti tiada sebarang aktiviti perikanan dibenarkan di kawasan laut berkuat kuasa Disember ini.

Pengumuman tersebut merupakan titik perubahan bagi perlindungan laut di Antartika dan Laut Selatan. “Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi kepelbagaian hidupan laut.

“Selain itu, ia turut menyumbang kepada pembinaan daya tahan bagi kawasan laut tersebut bagi menghadapi perubahan iklim.

“Kami optimis hasil daripada kesepakatan ini, perlindungan berterusan bagi memelihara Laut Ross untuk tahun-tahun mendatang dapat dijayakan termasuk di kawasan timur Antartika dan Laut Weddell,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Perikatan Laut Antartika, Mike Walker berkata, usul tersebut merupakan suatu perkara mustahak yang perlu dibangkitkan demi menjentik kesedaran mengenai kemakmuran kehidupan marin di Antartika.

“Antartika merupakan satu-satunya kawasan di bumi ini yang tiada milikan mana-mana negara.

“Hal ini kerana ketika puncak Perang Dingin sekitar 1950-an, Soviet Union dan Amerika Syarikat telah bersetuju untuk memelihara kawasan tersebut demi kebaikan kemanusiaan dan sains.

“Signifikan memelihara kawasan tersebut bersama kerana ia merupakan ekosistem marin paling sihat di planet ini yang turut membekalkan nutrien sekali gus mengekalkan keseimbangan laut dunia,” ujarnya.

Sejak tahun 2009, pelan untuk membangunkan beberapa siri kawasan perlindungan marin di Laut Selatan telah dibuat. Selain memberi laluan migrasi hidupan laut dari satu kawasan ke kawasan lain ia juga untuk tujuan pembiakan dan mencari makanan.

Selain memeterai Laut Ross sebagai kawasan perlindungan marin tahun lalu, kawasan lain yang sedang menanti untuk diisytihar sebagai santuari marin dunia seterusnya ialah timur Antartika.

Penentuan


Santuari marin di timur Antartika akan menghalang eksploitasi hasil laut.


Meskipun begitu, nasib kawasan laut yang dikelilingi ais seluas sejuta kilometer persegi itu bergantung kepada mesyuarat CCAMLR di Hobart, Australia sehingga 27 Oktober ini.

Zon ketiga yang masih dalam perancangan Jerman dijangka memberi manfaat perlindungan kepada Laut Weddell yang berkeluasan 2.8 juta kilometer persegi.

Bagi zon keempat pula, cadangan diutarakan oleh Argentina dan Chile berkeluasan 94,000 kilometer persegi di Semenanjung Barat Antartika.

Membangunkan kawasan perlindungan marin tahun ini di timur Antartika sedikit sebanyak dijangka menjadi penanda aras terhadap jaringan santuari marin yang menyeluruh menjelang tahun 2020.

Walaupun usaha demikian murni untuk direalisasikan, Rusia dan China menentang keras kerana ia mengehadkan sumber perolehan hasil laut mereka sejak ia mula diutarakan sekitar tahun 2009 lagi.

Kongsi Pengarah The Pew Charitable Trust, Lautan Selatan dan Antartika, Andrea Kavanagh, keputusan untuk mencapai kesepakatan dalam memelihara laut tersebut bersama mengambil masa lebih lima tahun.

“Hari ini, CCAMLR telah melakar sejarah dengan mengisytiharkan Laut Ross sebagai perlindungan marin terbesar di planet ini.

“Keputusan itu adalah mercu tanda bersejarah melibatkan beberapa negara dengan sebulat suara melindungi kawasan laut terbesar yang menjangkau bidang kuasa khusus sesebuah negara.

“Ini menunjukkan betapa CCAMLR serius menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pelindung perairan termasuk di bahagian timur Antartika,” jelasnya.

Perlindungan tersebut akan mengharamkan sebarang aktiviti perikanan yang menjejaskan habitat asal hidupan laut tersebut.

Sejak sekian lama, Rusia dan China mendominasi industri penangkapan toothfish di Antartika selama ini.

Ia menyebabkan ikan paus orca terpaksa bersaing dengan nelayan bagi mendapatkan hasil laut yang menjadi makanan utama mamalia laut tersebut.

Justeru, menerusi perjanjian itu, ia akan menghalang eksploitasi hasil laut kedua-dua negara terbabit sekali gus mengembalikan semula keseimbangan hidupan laut.

Bagaimanapun, dua zon yang membenarkan aktiviti penangkapan hasil laut iaitu di zon penyelidikan kril iaitu sejenis udang dengan keluasan 322,000 kilometer persegi manakala zon penyelidikan khas pula seluas 110,000 kilometer persegi.

Meskipun begitu, kedua-dua zon berkenaan membenarkan penangkapan kril dan toothfish bagi tujuan penyelidikan semata-mata.

Pada asalnya tempoh perlindungan tersebut adalah selama 50 tahun namun pemain industri perikanan dunia iaitu Rusia dan China membantah sekeras-kerasnya usul tersebut.

Rentetan itu, tempoh perlindungan santuari tersebut dijangka akan tamat dalam 35 tahun lagi.

“Tidak dapat digambarkan betapa sukarnya untuk mencapai kesepakatan tersebut.

“Meskipun begitu, saya positif dalam masa 35 tahun lagi nilai pemuliharaan itu akan membuahkan hasil dan menyaksikan dunia ini menjadi lebih baik daripada sekarang,” jelasnya lagi.