Tubuh segar, minda cergas

Tingkat tiga Be Urban menempatkan gimnasium dan studio yoga.


JADUAL harian Lau Mun Lay, 42, sentiasa padat dan memenatkan.

Sebagai Ketua Barang Dagangan di Bahagian Operasi Hi-5 iaitu sebuah prasekolah swasta bersifat kendiri, kerjayanya memerlukan dia sentiasa bergerak aktif. Mengakui ia rutin yang cukup meletihkan, anak kedua daripada empat beradik itu kerap ke luar negara antara dua hingga tiga kali sebulan atas faktor kerja.

“Pada usia begini, saya perlu mencari solusi terbaik bagi menangani masalah kelesuan akibat beban kerja berlebihan. Pada masa sama, saya perlu mengekalkan momentum kerja agar kualiti sentiasa konsisten,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mun Lay yang merupakan ahli di pusat terapi dan kecergasan Be Urban Wellness (Be Urban) sejak bulan April 2016 itu mengakui, dia bukan seorang yang cergas pada waktu pagi.

“Sejak kunjungan pertama dahulu, saya tidak sangka akan menyukai sesi yoga pada waktu fajar yang bermula pada pukul 7.15 pagi.

“Bukan sahaja badan menjadi lebih segar dan bertenaga setelah berjaya merehatkan otot, saya juga merasakan ketenangan yang luar biasa saat melakukan senaman sambil menyaksikan matahari terbit. Ia seolah-olah memberi tenaga tambahan untuk memulakan hari yang baharu,” katanya sambil memberitahu dia pasti akan mencari peluang untuk mengunjungi Be Urban secara konsisten ketika berada di tanah air.

Selain yoga, Mun Lay juga pernah mencuba senaman Rangsangan Otot Elektronik (EMS) yang didakwa 18 kali lebih efektif berbanding senaman konvensional. Senaman mengikut tahap intensiti boleh laras selama 20 minit sambil memakai sut khas itu mampu membakar kalori yang setara dengan Latihan Jarak Intensiti Tinggi (HIIT) selama sejam.

“Saya menyukainya kerana ia efektif dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya,” akui Mun Lay.

Bentuk badan


Peserta akan diajar untuk melakukan teknik yoga dengan betul oleh jurulatih yang berpengalaman luas.


Tidak terbatas kepada aktiviti kecergasan, Mun Lay juga gemar melakukan spa terapeutik iaitu urutan batu panas dan rawatan rejuvenasi oxygen chamber sebagai sesi memanjakan diri.

Berbeza halnya dengan Mun Lay yang lebih mementingkan ritual merehatkan otot dan menenangkan minda, Belinda Soh, 23, pula memilih Be Urban sebagai lokasi bersenam kerana menggemari fasiliti dan persekitaran aktif di gimnasium.

Anak kelahiran Segamat, Johor itu mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai ahli di Be Urban sejak awal tahun ini kerana ingin mendapatkan bentuk badan ideal.

“Sewaktu bergelar pelajar dulu, saya kerap bermain badminton, berjoging dan meluangkan masa berkualiti dengan kawan-kawan.

“Namun, sejak bekerja, saya semakin sibuk. Kemudian, saya sedar saya perlu mencari masa untuk melakukan aktiviti kecergasan dan pada masa yang sama tidak mengabaikan kehidupan sosial,” ujarnya.

Tekanan


Kiri. Be Urban juga menyediakan bilik spa khas untuk pasangan yang lengkap dengan kolam jakuzi.


Selain faktor jarak yang berhampiran dengan pejabatnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Belinda juga memilih untuk bersenam di Be Urban berbanding pusat kecergasan lain kerana gemarkan kedamaian dan ruang privasi yang disediakan.

“Ada masanya gimnasium juga sesak, namun semua orang seakan-akan menghormati ruang bersenam masing-masing.

“Bertempat di tingkat 10, saya juga berasa seolah-olah dapat melepaskan tekanan di tempat kerja apabila dapat bersenam sambil menyaksikan pemandangan langit malam kota raya Kuala Lumpur yang indah disimbahi cahaya neon,” terang anak bongsu daripada lima beradik itu.

Selain bersenam sendiri di gimnasium, Belinda juga akan menyertai kelas pertahanan diri berasaskan ketenteraan krav maga di bawah bimbingan jurulatihnya, Ben. Jelas Belinda yang kini berada di Sydney, Australia atas urusan kerja, kelas krav maga mengajarnya cara untuk melindungi diri sekiranya diserang musuh.

“Ia mudah diikuti dan sangat efektif walaupun terhadap orang yang tidak biasa dengan seni mempertahankan diri. Ben mengajar kami teknik yang praktikal digunakan apabila berhadapan dengan situasi tertentu,” katanya sambil memberitahu krav maga sesuai dipelajari oleh semua peringkat umur dan setiap kelas bersifat intensif dengan hanya lima hingga enam orang dalam satu sesi.

Sementara itu, Pengurus Besar Be Urban, Kelly Ng, memberitahu, sebagai sebuah pusat terapi kecergasan dan spa, pihaknya sangat komited agar setiap ahli atau pelanggan yang berkunjung ke Be Urban dapat pulang dengan badan yang lebih bertenaga serta kulit sihat.

“Apabila seseorang berkunjung buat kali pertama, kami akan melakukan soal selidik bagi mengenalpasti jenis rawatan yang diperlukan dan memberi cadangan yang bersesuaian mengikut keperluan mereka.

“Saya percaya, menjadi sihat bukan sahaja melibatkan penjagaan makanan, sebaliknya perlu disusuli dengan aktiviti kecergasan dan terapi termasuk detoksifikasi,” jelasnya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam industri kecantikan.

Antara rutin kecergasan yang terdapat di Be Urban termasuklah gimnasium, yoga, latihan akua, krav maga, zumba, pilates dan HIIT.

Rawatan terapi pula melibatkan spa, rawatan muka, pelangsingan badan dan urutan.