Penyatuan budaya semarak ulang tahun ke-60 Malaysia dan Jepun


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang berswafoto sambil memperagakan busana tradisional Jepun pada sambutan Bon Odori di pekarangan pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.


UCAPAN hajimemashite dan konnichiwa menghiasi bibir dua gadis penyambut tetamu yang sedia menanti di pintu gerbang sebagai tanda menyambut ketibaan pengunjung pada program Publika Sama-Sama Bon Odori di ibu kota baru-baru ini.

Kira-kira pukul 5.30 petang, penari-penari kebudayaan mula berarak masuk menandakan permulaan pesta yang sinonim dengan sambutan musim panas berasal dari negara Matahari Terbit itu.

Orang ramai kian bersesak-sesak tanpa mengira peringkat umur dan usia. Cuaca mendung nampaknya tidak memudarkan semangat mereka untuk memeriahkan acara yang dibuat secara terbuka itu.

Tidak ketinggalan Suhana Razali, 18, dan kakaknya Hanis Razali, 26, yang masing-masing tampil manis mengenakan yukata berwarna hijau dan hitam dengan corak bunga rona merah jambu dan ungu muda.

“Yukata ini kami beli semasa melancong ke Kyoto, Jepun tiga tahun lalu. Kami pernah memakainya sekali. Selepas pulang dari bekas ibu kota diraja Jepun itu ia tersimpan sahaja di dalam almari.

“Sebenarnya ini kali pertama kami mempunyai kesempatan untuk menghadiri sambutan Bon Odori di tanah air,” ujar Suhana kepada Kosmo! ketika ditemui di pekarangan Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pesta itu dianjurkan pusat beli-belah berkenaan bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak tahun 1957.

Mengikut kepercayaan rakyat Jepun, Festival Bon Odori adalah sambutan tarian rakyat yang diadakan untuk menyambut roh nenek moyang mereka yang dikatakan turun dari langit untuk melawat alam dunia pada pertengahan tahun.

Bon Odori merujuk kepada odori bermaksud tarian yang diadakan untuk meraikan roh ahli keluarga yang sudah meninggal dunia dikenali sebagai bon. Ia selalu disertai dengan nyanyian dan tarian berserta irama pukulan gendang, gong dan tiupan seruling.

Pesta musim panas


PENARI cilik menunjukkan bakat menari setanding dengan penari dewasa dengan penghayatan terhadap tempo lagu dan gerak langkah.


Namun pada era ini, Bon Odori lebih sinonim kepada penganjuran pesta musim panas yang disambut meriah dengan penuh keriangan.

Bagi warga Jepun, Hitoshi Moriyama, 70, sambutan tersebut menjadi platform untuk memperkenalkan identiti negara mereka kepada masyarakat luar meliputi permainan, makanan, pakaian, bahasa, tarian dan banyak lagi yang boleh dilihat secara langsung.

“Saya sendiri membawa pelbagai permainan buatan tangan seperti kincir angin, patung acorn yang diukir daripada kayu serta diwarnakan sendiri dan wisel untuk dijual sebagai cendermata kepada pengunjung.

“Sudah lima tahun saya menetap di sini. Malaysia adalah rumah kedua saya. Perayaan ini juga dapat mengubati kerinduan suasana sambutan Bon Odori di negara kelahiran saya,” ujar pesara itu.

Sementara itu, Syed Putera Syed Mokhtar yang mewakili Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) tidak melepaskan peluang menjual yukata di samping menawarkan khidmat memakai pakaian tradisional itu kepada pengunjung pada hari tersebut.

“Pemakaian yukata ini memakai masa kira-kira 30 minit kerana ia terdiri daripada beberapa bahagian termasuk teknik ikatan tali pinggang yang dipanggil obi.

“Bagi pelanggan lelaki saya sendiri akan bantu pakaikan. Segala kutipan jualan akan disalurkan kepada persatuan kami,” ujarnya yang pernah menutut di Kolej Teknologi Nasional Niihama, Jepun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari tahun 1988 sehingga 1993.

Beliau yang juga bekas presiden ALEPS berkata, aktiviti yang dilakukan persatuan itu menjurus kepada kerja-kerja sukarelawan termasuk membekalkan peralatan seperti kerusi roda kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.