TH Hotel & Residences, tawar pakej perkahwinan istimewa


TH Hotel mempunyai beberapa cawangan di Malaysia dan dikenali sebagai mesra Muslim serta patuh syariah.


MENGADAKAN kenduri perkahwinan merupakan satu daripada perkara penting yang perlu dititikberatkan dan menjadi cabaran dalam kalangan setiap pasangan pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga.

Pelbagai aspek perlu diambil kira dan disusun atur sebelum sesebuah majlis kenduri atau keraian berlangsung termasuklah dari segi pemilihan lokasi di mana ia akan dianjurkan serta menu yang bakal dihidangkan untuk semua tetamu jemputan.

Menyedari senario dan keutamaan tersebut, Lembaga Tabung Haji menerusi anak syarikatnya, TH Hotel & Residences Sdn. Bhd. (TH Hotel) menawarkan pelbagai pakej menarik bagi orang ramai yang ingin mengadakan pelbagai acara keraian termasuklah majlis persandingan, pernikahan, pertunangan dan majlis berinai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Tan Sri Mohd. Yazid berkata, dibangunkan pada peringkat awal sebagai kemudahan untuk jemaah haji, rangkaian TH Hotel kemudiannya menyediakan pelbagai jenis bilik untuk dimanfaatkan di luar musim haji, selain suasana persekitaran kondusif untuk pelbagai jenis penganjuran majlis keraian, seminar, pameran, konvensyen atau lokasi perbincangan perniagaan.

“Dikenali sebagai peneraju perkhidmatan penginapan yang mesra Muslim dan patuh syariah di negara ini, ia sekali gus memudahkan segala urusan dan perkhidmatan yang diinginkan semua pihak terutama bakal mempelai yang sedang mencari pakej perkahwinan.

“Setakat ini, TH Hotel beroperasi di beberapa lokasi yang kesemuanya berdekatan dengan lapangan terbang utama seperti di Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Dewan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur serta Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.


Terdapat dua pakej utama yang ditawarkan TH Hotel iaitu bufet dan dome.


Tambahnya, pihaknya menawarkan dua pilihan pakej kepada pelanggan iaitu secara bufet dan secara hidang (dome) dengan harga pakej bermula daripada RM24.90 (bufet) seorang khas untuk 1,500 orang dalam satu majlis.

Yasmin menjelaskan, promosi pakej bufet tersebut ditawarkan kepada orang ramai hingga Jun 2018 dengan setiap pakej diberikan 14 menu asas seperti nasi minyak, nasi putih, ayam masak merah, rendang daging tok, pajeri nanas ala Bombay, minuman berperisa kordial dan buah-buahan tempatan.

“Di TH Hotel, kami menyediakan lima hidangan untuk menu tradisi dan lima hidangan untuk masakan kampung. Pelanggan juga boleh memilih apa sahaja menu yang diinginkan mengikut bajet masing-masing.

“Menariknya, mereka juga boleh membuat penambahan menu lauk-pauk mengikut cita rasa tersendiri tanpa perlu mengikut pakej menu asal yang ditetapkan dan harga akan ditentukan mengikut apa yang dipilih,” ujarnya yang menyatakan dewan yang disediakan pihaknya boleh memuatkan sehingga 1200 tetamu (dome) dan 1500 tetamu (bufet).

Jelasnya, setiap pakej bufet dan dome yang ditawarkan telah ditetapkan harga permulaannya dan ia berbeza mengikut lokasi rangkaian hotel tersebut berada.


SET hiasan pelamin pengantin turut disediakan untuk pelanggan mengikut pakej yang ditawarkan.


Turut ditawarkan kepada pelanggan adalah pakej seperti kelengkapan dewan seperti kerusi dan meja banquet beralas, sewaan dewan, karpet merah dan sistem audio asas selain pakej yang mengandungi pilihan menu menarik, hidangan makan beradab raja sehari, set hiasan pelamin dan dewan asas.

Dalam pada itu, Yasmin turut memperkenalkan dan mempromosikan kad keahlian TH Hotel untuk orang ramai menikmati kadar diskaun dan keistimewaan tersendiri yang ditawarkan syarikat tersebut.

“Serendah RM15 bagi setiap kad, orang ramai boleh menikmati diskaun istimewa daripada TH Hotel termasuklah dari segi potongan harga bagi penempahan bilik penginapan, makanan dan minuman dan lain-lain kemudahan perkhidmatan di bawah kendalian TH Hotel,” ujarnya yang menyatakan TH Hotel bakal membuka dua lagi cawangan terbaharu hotelnya di Kuching, Sarawak dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun depan.