Bahara Emas tonjol isu antirasuah, tamak


ROSMINAH (depan) bersama barisan pelakon dan tenaga kerja produksi pementasan teater Bahara Emas yang berlangsung secara percuma di Auditorium DBP bermula semalam hingga esok.


BERLATAR belakang era kesultanan Melayu Melaka kelapan, Sultan Mahmud Shah, teater Bahara Emas arahan Rosminah Mohd. Tahir yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bermula semalam mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.

Seramai 420 orang hadir memberi sokongan terhadap pementasan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sempena meraikan ulang tahun ke-50 tahun agensi kerajaan itu sejak ditubuhkan pada 1967.

Pementasan teater berdurasi sekitar dua jam itu juga merupakan sebahagian daripada modus operandi baharu SPRM mendekati masyarakat tentang bahaya penularan kegiatan rasuah termasuk implikasi terhadap negara.

Mesej berkenaan turut menjadi bahan asas Bahara Emas, terutama dalam soal pemberian hadiah oleh pedagang Portugis lakonan Mubarak Majid kepada Bendahara (Datuk Jalaluddin Hassan) dengan harapan agar pembesar istana terbabit membantu mereka.

Kekeliruan terhadap ungkapan hadiah itu dilihat sebagai permulaan kepada kegiatan rasuah dalam kalangan masyarakat dan jalan pintas untuk memenuhi keinginan tanpa perlu bersusah payah.

Namun, mesej antirasuah itu hanya diselitkan dalam beberapa bahagian sahaja yang berjaya ‘dihadam’ penonton kerana selebihnya agak menonjolkan tentang ketamakan dan sikap iri hati Raja Mendaliar (Eyzendy Aziz) terhadap Bendahara.

Selain itu, keinginan Sultan Mahmud Shah (Isma Daniel) untuk memperisterikan Tun Fatimah (Farahdhiya), anak Bendahara juga secara tidak langsung menyebabkan tumpuan penonton sedikit terganggu dan terlupa akan misi sebenar teater berkenaan diadakan.

Tarik diri

Tidak dinafikan mesej salah guna kuasa dan kegiatan rasuah cuba diberi penekanan namun, perasaan iri hati sultan terhadap Tun Ali memperisterikan Tun Fatimah dan dendam ahli keluarga Bendahara yang mati dihukum bunuh tanpa usul periksa kelihatan lebih menyerlah dan menarik perhatian.

Babak melibatkan hampir kesemua ahli keluarga Bendahara dihukum bunuh mencetuskan suasana sedih dalam kalangan penonton. Barisan pelakon telah menterjemahkan karakter mereka dengan berjaya.

Bahara Emas turut mendapat sentuhan muzikal daripada komposer popular, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah. Susunan muzik beliau berjaya menyuntik mood muzikal dan menghiburkan penonton. Pak Ngah menggubah kira-kira 20 buah lagu digubah dipersembahkan pelakon memilih secara miming.


BABAK Tun Fatimah ingin menjalankan hukuman bunuh ke atas sultan yang juga merupakan suaminya setelah kematian Tun Ali.


Keupayaan pelakon menterjemah watak masing-masing turut tidak berdepan dengan masalah sementelah kesemuanya telah menjalani latihan lebih sebulan bagi memastikan pementasan berjalan lancar.

Membawakan watak sebagai Tun Fatimah, pelakon drama rantaian Spa Q, Farahdhiya mengakui pada awalnya dia berasa gusar sekiranya tidak dapat melakukan persembahan dengan sempurna.

Karakternya juga memperuntukkan wanita kelahiran Itali itu berkemahiran dalam seni mempertahankan diri dan menjadi guru silat buat srikandi Melaka.

“Pada awalnya saya seperti ingin tarik diri kerana berasa tidak dapat melakukannya, apatah lagi watak ini memperuntukkan kemahiran silat.

“Bagaimanapun setelah menjalani latihan hampir sebulan, syukur segalanya berjalan lancar. Sokongan pelakon lain dan juga kenalan rapat turut banyak memain peranan untuk saya kekal dalam pementasan ini,” jelas pelantun lagu Bertakhta Di Hati berkenaan.

Kekangan

Sementera itu, keluasan pentas yang berskala kecil menjadi antara cabaran pihak produksi dalam menyusun atur prop agar dapat mencetuskan suasana sebenar buat penonton.

Hal itu secara tidak langsung mencabar kredibiliti pengarah, Rosminah yang turut terlibat sebagai penulis skrip. Bukan sahaja memastikan penggunaan pentas digunakan semaksimum mungkin, dia juga berasa hampir 50 peratus matlamat persembahan hilang.

“Saya tidak menjadikan keadaan pentas yang sedikit kecil sebagai kekangan kerana kami hanya berpeluang menjalani latihan di Auditorium DBP selama tiga hari sebelum pementasan.

“Saya tetap berpuas hati dengan mutu lakonan pelakon termasuk semua tenaga kerja terlibat. Segala kekurangan itu dijadikan sebagai cabaran sepanjang teater ini berlangsung,” katanya usai pementasan.

Selain SPRM, pementasan Bahara Emas turut mendapat kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.