Remaja maut nahas bot terbalik


ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang lemas di Sungai Perak dekat Kampung Perah, Gerik semalam.


GERIK – Hajat seorang cucu untuk membantu datuknya di kebun tidak kesampaian apabila bot yang mereka naiki terbalik ketika mengharungi Sungai Perak berhampiran Pengkalan 50, Kampung Perak di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mayat mangsa, Muhammad Akmal Syazani Osman, 17, ditemui di permukaan sungai berkenaan kira-kira 50 meter dari lokasi bot terbalik.

Difahamkan, mangsa bersama datuknya, Samsudin Md. Piah, 65, menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Perak ke kebun mereka dengan membawa bersama muatan 50 anak pokok getah.

Ketua Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.34 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi kejadian, datuk mangsa yang berjaya menyelamatkan diri selepas terjatuh dari bot memaklumkan cucunya tidak pandai berenang.

“Anggota bersama orang awam membuat pencarian di permukaan sungai dalam jarak 50 meter dari lokasi bot terbalik dan menemui mangsa dalam keadaan terapung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.