Gadis diselamatkan lepas dua tahun hilang


NORMAH memeluk erat cucunya, Askara dan anak perempuannya, Nurul Farhana selepas selamat tiba di KLIA2, Sepang semalam. Turut kelihatan Budiman yang menggerakkan usaha menjejaki dan membawa pulang Nurul Farhana.


SEPANG – Kerinduan seorang ibu terhadap anak perempuan tunggalnya yang hilang sejak dua tahun lalu terubat dalam pertemuan penuh emosi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini selepas ‘diselamatkan’ Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi semalam.

Nurul Farhana Ahmad, 25, meninggalkan rumah mereka di Sungai Besar, Selangor dua tahun lalu dipercayai mengikut teman lelakinya sebelum dikesan menetap di sebuah kawasan perkampungan di Medan, Indonesia pada Mac tahun lepas.

Dalam tempoh dua tahun itu, Nurul Farhana dikurniakan seorang anak lelaki, Askara Alfatih Ali berusia 15 bulan sebelum ditinggalkan suami.

Semalam, Nurul Farhana bersama anaknya yang dikatakan hidup dalam keadaan serba daif di Medan selamat tiba di KLIA2 selepas dua minggu usaha membawanya pulang dilakukan pihak Budiman.

Ibunya, Normah Yusof, 51, berkata, dia bersyukur dapat bertemu semula dengan Nurul Farhana selepas dua tahun terputus hubungan.

“Saya bersyukur semua selamat. Kami akan mulakan hidup baharu bersama Nurul Farhana dengan cucu saya selepas ini dan melupakan semua yang sudah berlalu,” ujarnya di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.