Kompleks Gua Ikan simpan ‘harta karun’



Pendakian melalui laluan curam dan licin itu amat mencabar fizikal dan serta mental Raja Rusmin Raja Mahmud, 54. Bagaimanapun, keinginannya yang kuat untuk meneroka keunikan Kompleks Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan membuatkan wanita itu mengerah sisa-sisa kudrat yang ada.

Ia berbaloi apabila dia berjaya sampai ke puncak gua yang dipenuhi flora dan fauna dengan sebahagiannya tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

“Laluan dalam gua juga agak mencabar kerana saya dan peserta lain perlu menyusuri batu-batu besar yang licin selain laluan sempit.

“Kesukaran itu berbalas apabila saya dapat melihat bongkah batu yang menyerupai keris tercacak di Gua Keris,” ujarnya menceritakan pengalaman mengikuti Ekspedisi Eksplorasi Kompleks Gua Ikan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri Kelantan bersama-sama sekumpulan pengamal media negeri itu baru-baru ini.

Kompleks Gua Ikan terletak di Kampung Slow Pak Long kira-kira 95 kilometer (km) dari Bandar Kuala Krai dan 7km dari Pekan Dabong.

Ia merangkumi enam gua seperti Gua Ikan, Gua Keris, Gua Gelap, Gua Pagar, Gua Pacat dan Gua Manggis.

Asal-usul nama Kompleks Gua Ikan diperoleh daripada batu yang kelihatan seperti ikan selain sejumlah ikan turut menghuni gua tersebut.

Masyarakat Melayu dahulu turut menjadikan lokasi tersebut untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Dipercayai di dalam gua itu terdapat peninggalan harta karun yang disembunyikan oleh pihak tentera Jepun dahulu tetapi ia masih belum ditemui.

Selain itu, empat gua yang terdapat di kompleks itu turut menyimpan pelbagai sejarah serta mitos tersendiri.

Terdapat pelbagai jenis flora dan fauna di gua ini antaranya sejenis flora istimewa yang sukar ditemui di tempat lain dikenali sebagai Vaughan’s Balsam yang dikatakan hanya dapat ditemui di Perlis dan Selatan Thailand.

Setiausaha Persatuan Malim Gunung Kelantan, Bukhari Mat memberitahu, Kompleks Gua Ikan seluas 1.5 hektar itu berusia 150 juta tahun dan kaya dengan sumber mineral stalagmit dan stalaktit semula jadi yang masih aktif sehingga kini.

“Ia merupakan bongkah batu berbentuk kon yang terbentuk daripada air yang menitis. Stalaktit dan stalagmit yang terdapat di dalam gua akan bersinar apabila disuluh.

“Sumber mineral ini dikatakan terbentuk akibat hakisan dan titisan air sejak jutaan tahun dahulu.

“Selain itu, terdapat tumbuhan semula jadi yang hanya terdapat di gua batu kapur seperti fosil hidup seperti Begonia (asam batu), fosil rumpai laut, Vaughan’s Balsam serta Trapdoor Spider yang hidup sejak 3,000 tahun dahulu,” ujarnya.


Sebahagian pengamal media dan peserta Ekspedisi Eksplorasi Kompleks Gua Ikan bergambar selepas berjaya sampai ke puncak Gua Keris.


Gua Keris

Bukhari memaklumkan, bongkah batu yang menyerupai sebilah keris di Gua Keris juga merupakan hasil daripada stalaktit dan stalagmit yang terukir secara semula jadi.

Jelasnya, kilauan hasil stalaktit dan stalagmit di sekeliling dinding gua pasti melekakan sesiapa sahaja terutamanya setelah penat mendaki laluan berliku untuk sampai ke gua itu.

Beliau berkata, terdapat satu fenomena laluan cahaya iaitu kejadian satu alur cahaya matahari menembusi terus ke dalam gua melalui celahan siling gua. Fenomena ini terkenal dengan jolokan God Light atau cahaya bukaan gua yang merupakan lokasi terbaik untuk merakam kenangan di gua batu kapur ini.

“Kejadian cahaya matahari memasuki gua yang gelap seolah-olah tembakan cahaya laser terus ke lantai gua.

“Waktu terbaik untuk melihat cahaya tersebut adalah pada pukul 10.30 pagi hingga 11.15 pagi setiap hari namun ia bergantung kepada cuaca,” jelasnya.

Selain itu, Bukhari memberitahu, Gua Gelap atau dikenali juga sebagai Gua Batu Susun memperoleh nama daripada pelbagai jenis bentuk batu yang tersusun di sepanjang laluannya.

Batu-batu di gua itu dikatakan telah diusik dan dipindahkan oleh pencari batu zamrud yang kononnya ada tertanam di dalam gua tersebut suatu masa dahulu.

“Seperti namanya, keadaan di dalam Gua Gelap ini sangat gelap. Cuma, sesekali cahaya matahari menyuluh dari celahan dinding dan cahaya itulah yang menjadikan gua ini unik untuk dilihat.

“Gua Gelap agak sukar dilalui. Orang ramai kena mengiring dan merebahkan badan secara melintang untuk melepasi pintu masuk gua yang rendah dan sempit,” ujarnya.

Mitos

Beliau menambah, asal-usul Gua Ikan pula dikatakan mendapat nama sempena sebuah batu besar yang menyerupai ikan di kawasan itu.

“Menurut mitos, dahulunya terdapat banyak ikan di dalam gua tersebut dan pernah didiami Cik Siti Wan Kembang yang mula memerintah Kelantan pada tahun 1610. Dalam usia 30 tahun, baginda dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin.

“Baginda bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chintawangsa, terletak kira-kira 40km di tenggara Kuala Krai.

“Sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar terutama Arab dan China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang terkenal,” terangnya.


Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman (depan) meninjau kawasan Gua Ikan pada Program Menghidupkan Semula Kompleks Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.


Kesan peninggalan seperti pinggan mangkuk, meja solek dan tab mandi Cik Siti Wan Kembang terdapat di gua tersebut, namun kini kesemua itu tidak dapat dilihat kerana pintu masuk gua berkenaan dihalang batu besar.

Selain itu, terdapat dua gua lagi di Kompleks Gua Ikan iaitu Gua Pacat dan Gua Manggis, namun ia tidak begitu menonjol kerana masih belum diterokai selain faktor jarak yang agak jauh.

Sementara itu, pemandu pelancong, Mohammad Zulkhairi Che Mustapa, 27, berkata, stalaktit dan stalagmit yang membentuk gua batu kapur tersebut itu memang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya popular dalam kalangan pencinta alam.

“Kebanyakan pengunjung memilih ke Air Terjun Jelawang yang terletak kira-kira 10km dari Kompleks Gua Ikan. Kebiasaannya, kumpulan yang saya bawa akan diselit aktiviti mendaki gua-gua berhampiran untuk menambahkan pengetahuan mereka.

“Setiap minggu memang ramai datang ke sini untuk beriadah. Saya pernah membawa pelancong dari luar negara seperti Perancis, Belanda dan Jerman untuk mengkaji dan melihat sendiri keunikan gua ini,” katanya yang mula menjadi malim gunung sejak 2008.

Mohammad Zulkhairi berharap agar kawasan tersebut dapat dikomersialkan lagi dan bukan terhad kepada eksplorasi gua sahaja.

“Mungkin boleh mewujudkan aktiviti panjat tebing untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama dalam kalangan peminat sukan lasak,” jelasnya.

Tambahnya, aktiviti seumpama itu mampu mempopularkan lagi Kompleks Gua Ikan yang mempunyai pelbagai tarikan dari segi flora dan fauna.