Lambaian ratu kerusi roda


CHICHIKOVA menampilkan pakaian tradisi Belarus dalam segmen peragaan pakaian kebangsaan.


Biarpun ditakdirkan hidup berkerusi roda, ia bukanlah penamat impian para wanita orang kelainan upaya (OKU) untuk bergelar ratu cantik di dunia.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, pertandingan Ratu Cantik Kerusi Roda Dunia (Miss Wheelchair World) telah dilangsungkan di Warsaw, Poland baru-baru ini.

Dalam pertandingan edisi sulung yang disertai 24 wanita jelita itu menyaksikan seorang pelajar dari Belarus dimahkotakan Ratu Cantik Kerusi Roda Dunia.

Aleksandra Chichikova, 23, yang merupakan pelajar jurusan psikologi dan pedagogi sosial menewaskan Lebohang Monyatsi dari Afrika Selatan di tempat kedua dan Adrianna Zawadzinska dari Poland di tempat ketiga.

Pertandingan kecantikan itu dianjurkan oleh sebuah organisasi, Only One Foundation yang diasaskan oleh dua wanita OKU yang mahu memecahkan tembok keterbatasan golongan itu.


CHICHIKOVA menitiskan air mata saat dimahkotakan sebagai pemenang Ratu Cantik Kerusi Roda Dunia.


Sebagai mana pertandingan Ratu Cantik Dunia, pertandingan Ratu Cantik Kerusi Roda Dunia turut melibatkan rutin persembahan pakaian tradisional dan gaun petang.

Mereka juga melakukan rutin tarian ringkas menggunakan kerusi roda sama ada dilakukan sendiri atau dengan bantuan orang lain.

Mereka turut berkongsi kisah dengan khalayak tentang punca lumpuh dan cabaran hidup berkerusi roda. Salah seorang peserta memberitahu, malang menimpanya setelah seorang lelaki yang ingin membunuh diri jatuh ke atasnya.

Salah seorang penganjur, Katarzyna Wojtaszek-Ginalskaadded berkata, ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya di dunia.

“Matlamat kami adalah untuk mengubah imej wanita berkerusi roda, jadi mereka tidak hanya dinilai dengan kekurangan yang dimiliki semata-mata,” katanya.