Kedah, JDT ada kelebihan

Azraai memilih JDT dan Kedah sebagai finalis Piala Malaysia musim ini.


JURULATIH berpe­ngalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah meramalkan pasukan Kedah dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai peluang cerah untuk menyingkirkan lawan masing-masing pada separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini.

Juara bertahan, Kedah akan melayan kunjungan Felda United di Stadium Darul Aman, Alor Setar, manakala JDT menanti kehadiran Perak dalam aksi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin selepas aksi separuh akhir pertama menyaksikan ke­dua-dua perlawanan ter­ikat 1-1.

Azraai yang pernah membawa skuad Helang Merah menjulang gelaran double treble sebelum ini percaya bekas pasukannya memiliki pengalaman yang cukup baik selain kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kedah ada sedikit ke­lebihan selepas mereka berjaya meraih gol berharga di tempat lawan ming­gu lalu. Kini, berbekalkan soko­ngan padu penyokong di Stadium Darul Aman, saya pasti mereka tidak memiliki masalah untuk menyingkirkan Felda United.

“Meskipun pesaing mereka telah meraih kemena­ngan 3-1 di venue yang sama bulan lalu, perlu diing­at bahawa itu adalah saingan Liga Super yang mana Kedah tidak menurunkan beberapa pemain utama. Saya percaya mereka memiliki pengalaman yang cukup baik dan berpeluang cerah untuk mara ke pentas akhir buat kali ketiga berturut-turut.

“Mengenai spekulasi bahawa ramai pemain Kedah mahu berhijrah musim depan, saya lihat ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan. Justeru, saya ramalkan Kedah akan meraih kemenangan 2-1,” katanya.

Mengulas lanjut, Azraai yang turut pernah membimbing skuad The Bos Gaurus pada musim 2012 mengakui bekas pasukannya memerlukan keajaiban sekiranya berhasrat untuk menundukkan pasukan pi­lihan, JDT di tempat lawan.

“Ia adalah perlawanan yang lebih sukar untuk diramal kerana pertemuan antara kedua-dua pasukan sentiasa berlangsung de­ngan rancak dan mendebarkan. Mungkin agak sukar untuk Perak menang tetapi ia bukan mustahil.

“Saya anggap kedua-dua pasukan memiliki peluang 50-50 tetapi berdasarkan rekod kebal JDT di laman sendiri, kelebihan sudah tentu berpihak kepada mereka. Saya ramalkan keputusan akan berakhir dengan 0-0 dan JDT mara hasil jaringan gol tempat lawan,” katanya.

Kedah merupakan salah satu pasukan cemerlang Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas merangkul Piala Sumbangsih dan Piala FA, manakala JDT mudah mengungguli trofi Liga Super.