China bakal jadi venue berkecuali


PAUL akan mengumumkan tarikh serta gelanggang berkecuali untuk perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia pada minggu depan.


KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) tidak menolak kemungkinan China bakal menjadi gelanggang berkecuali buat Harimau Malaya dan Korea Utara bagi aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul bagaimanapun memberitahu, keputusan mengenai venue buat kedua-dua negara itu bakal terjawab minggu depan.

Semalam, AFC mengumumkan tarikh baharu untuk perlawanan Korea Utara dan Harimau Malaya yang ditunda sejak Mac lalu.

Aksi pertama ditunda gara-gara hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara berada dalam situasi tegang ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang pada 13 Februari lalu.

Keputusan tersebut menyebabkan aksi yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lepas terpaksa ditangguhkan malah FAM sebelum ini pernah memohon supaya perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Hong Kong atau Beijing, China bagi menjamin keselamatan pemain negara.

Kerajaan Malaysia juga melarang rakyat negara ini melakukan perjalanan ekoran siri ujian peluru berpandu oleh negara komunis itu sekali gus memaksa perlawanan skuad bimbingan Nelo Vingada di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 5 Oktober lalu ditangguhkan sekali lagi.

“Kita sedang berbincang dengan beberapa negara untuk menjadi tuan rumah. Saya berharap minggu depan kita akan dapat jawapan. Venue gelanggang berkecuali itu dijangka di China atau negara-negara Asia Tenggara.

“AFC sangat gembira kerana kedua-dua persatuan terlibat mencapai kata sepakat. Cara ini akan membantu serta melindungi semangat kesukanan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.