Neymar mahu contohi Messi bimbing Mbappe


NEYMAR menyifatkan Mbappe sebagai pemain yang akan menjadi nama besar dalam dunia bola sepak masa depan.


PARIS, Perancis – Hubungan antara pemain termahal dunia, Neymar dan Kylian Mbappe semakin mantap apabila penyerang Brazil itu berharap dapat mengikuti jejak langkah Lionel Messi dalam membimbing bintang muda Perancis tersebut.

Neymar dan Mbappe kini menjadi tonggak penting buat Paris Saint-Germain (PSG) musim ini apabila kedua-dua pemain itu sekali lagi mendominasi jentera serangan dengan menewaskan Anderlecht 4-0 dalam aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara, baru-baru ini.

Peningkatan prestasi penyerang utama PSG, Neymar dan Mbappe tidak mampu disangkal apabila masing-masing sudah menjaringkan sembilan dan empat gol pada musim ini sekali gus membuktikan pembelian Mbappe dari AS Monaco yang bakal mencecah harga €180million (RM898.13 juta) begitu berbaloi.

Meskipun Neymar masih berusia 25 tahun, dia bercadang untuk menjaga rakan sepasukannya itu sama seperti Messi memantaunya ketika bermain bersama bekas kelabnya, Barcelona.

Ketika ditanya sama ada Mbappe merupakan sahabat karibnya yang baharu, Neymar berkata, memang benar dan dia adalah budak emas malah dia sedang melakukan perkara yang betul.

“Mbappe adalah seorang pemain hebat dan memiliki segala kualiti untuk menjadi salah seorang nama besar dalam dunia bola sepak.

“Saya berharap dia akan terus berjaya dan saya akan membantunya dengan apa jua yang boleh saya hulurkan.

“Sejujurnya, saya boleh membantunya sama seperti Messi lakukan untuk saya sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI