Jodoh Alonso, McLaren berpanjangan


ALONSO yakin McLaren yang menggunakan enjin Renault musim depan mampu bangkit bersaing sebagai pasukan gergasi.


LONDON – Pelumba Sepanyol, Fernando Alonso menjelaskan, kontrak baharu ditandatanganinya merupakan perjanjian jangka panjang sekali gus mema­dam khabar angin menyatakan ba­hawa dia mahu menamatkan kerjasama bersama McLaren pada tahun 2018.

Kelmarin, McLa­ren mengumumkan bahawa Alonso bersetuju untuk bersa­ma mereka pada musim depan sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pelumba berusia 36 tahun berkenaan.

Alonso kemudian bukan hanya mengesahkan perkara berkenaan malah menegaskan, kontrak kerja­sama mereka pada kali ini adalah untuk jangka masa panjang.

“Kami tidak pernah menjelaskan tentang klausa kontrak dan kami tidak akan lakukannya di sini (sidang akhbar). Bagaimanapun, saya boleh dedahkan bahawa tempoh masa kontrak kali ini adalah untuk jangka masa panjang.

“Saya tidak sabar untuk menghadapi musim depan dengan suasana dan harapan yang berbeza dan kami berhasrat untuk meletakkan McLaren kembali ke tangga teratas. Saya dah tidak sabar untuk perlumbaan Australia tahun depan,” katanya.

McLaren pada musim depan akan menggunakan enjin Renault berbanding Honda sebelum ini dan juara dunia dua kali itu optimis keputusan itu tepat dan akan me­nemui masa depan lebih cerah.

“Kami tahu enjin Renault mampu berikan keputusan berbeza pada mu­sim depan,” ujarnya. – AGENSI