Perlis sokong saranan pasang CCTV di masjid

21/10/2017 1:12pm




KANGAR - Kerajaan negeri menyokong penuh saranan agar setiap masjid di negeri ini memasang televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengekang sebarang aktiviti tidak sihat di masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia negeri, Datuk Khairi Hassan (gambar) berkata, saranan itu amat baik untuk menjamin keselamatan harta masjid di samping memastikan rumah ibadat itu tidak disalah guna.

"Setakat ini terdapat masjid di Perlis yang telah menggunakan kemudahan CCTV melalui inisiatif pihak pengurusan masjid itu sendiri," katanya kepada Bernama.

Khairi berkata, ia juga merupakan satu cadangan yang baik bagi mengekang pelbagai kes berkaitan terutamanya kecurian tabung masjid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias semalam mengenai pemasangan CCTV tersebut. - Bernama