Sarjan wanita terima rasuah penagih dadah direman tiga hari

21/10/2017 2:17pm


Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini.


SEREMBAN - Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini kerana didakwa menerima rasuah RM1,200 daripada seorang penagih dadah petang semalam.

Majistret Rahimah Rahim mengeluarkan perintah tahan reman keatas wanita berusia 36 tahun tersebut selepas Mahkamah Khas Reman di sini menerima permohonan daripada Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim.

Menurut jurucakap SPRM, wanita tersebut didakwa terlebih dahulu meminta rasuah sebanyak RM1,300 daripada penagih berkenaan bagi menutup kesnya daripada dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, anggota polis berpangkat sarjan itu kemudian bersetuju memberi `diskaun' kepada penagih dadah tersebut dan cuma mengambil RM1,200.

Jelasnya, suspek ditahan pegawai SPRM sewaktu berada dalam kenderaan jenis Nissan Grand Livina miliknya kira-kira pukul 3 petang semalam sejurus dia menerima rasuah berkenaan daripada penagih dadah tersebut.

"Wang berjumlah RM1,200 turut ditemui di dalam kenderaannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah. - K! ONLINE