Piala Malaysia: 20,000 keping tiket habis terjual di Stadium Darul Aman

21/10/2017 3:44pm


Sebahagian daripada penyokong yang beratur panjang untuk membeli tiket.


ALOR SETAR - Penjualan tiket bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara juara bertahan, Kedah dan Felda United di Stadium Darul Aman di sini yang dibuka sejak pukul 10 pagi tadi berjalan lancar dengan kira-kira 20,000 keping tiket terjual setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar berkata, tiket dijual pada harga RM15 untuk tempat duduk terbuka, RM30 berbumbung dan RM40 di astaka utama.

"Kita membuka sebanyak empat kaunter iaitu Kaunter A yang dikhaskan untuk wanita bagi pembelian tiket terbuka, berbumbung dan astaka utama; kaunter B & E untuk tiket terbuka sahaja manakala kaunter F untuk tiket berbumbung dan astaka utama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, penjualan tiket di empat kaunter tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

"Sehingga pukul 3 petang ini, penjualan tiket terbuka habis terjual bagaimanapun orang ramai masih berpeluang membeli tiket berbumbung dan tempat duduk di astaka utama," ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 5,000 tiket telah dijual secara dalam talian sejak dua minggu lalu dan 2,000 keping tiket lagi diperuntukkan kepada kelab penyokong dan kuota badan gabungan KFA.

Pasukan Kedah akan melayan kunjungan Felda United pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini malam ini. - K! ONLINE